Wakil mahasiswa, Mohammad Amar Aidid Mohd Zain menyampaikan perbahasan pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Mahasiswa UMNO sedia menjadi ejen kepada parti itu dalam menyampaikan maklumat dan inisiatif yang tepat serta positif berkenaan UMNO kepada golongan berkenaan.

Wakil mahasiswa, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain berkata, kesediaan itu membolehkan sentimen `UMNO fobia’ dalam kalangan golongan mahasiswa yang kian bertapak di institusi pengajian tinggi (IPT) berjaya diruntuhkan.

Menurut penuntut Universiti Utara Malaysia (UMM) itu, sentimen `UMNO fobia’ dalam kalangan mahasiswa tidak boleh dibiarkan kerana akan membuatkan UMNO berterusan ditolak generasi muda.

“Apabila mahasiswa UMNO turun mendekati mahasiswa, naratif dan permainan sentimen mereka terhadap parti ini sangat tersasar dan jauh daripada apa yang diusahakan parti kita.

“Ini perkara yang perlu kita lihat dan perbaiki,” katanya ketika berucap membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.

Mohamad Amar Aidid turut mendakwa, mahasiswa UMNO ketika ini berpandangan peranan akar umbi parti UMNO di peringkat kampus kurang dipandang pucuk pimpinan parti.

Menurutnya, ramai pemimpin mahasiswa UMNO yang berkelulusan tinggi dan berpengalaman dalam mengurus organisasi di kampus tidak diberi ruang untuk berkhidmat bersama-sama kepimpinan UMNO.

Jelasnya, kumpulan mahasiswa UMNO itu hanya dipanggil ketika berkempen pada pilihan raya umum, namun diketepikan di peringkat pembentukan dasar.

“Lebih membimbangkan apabila hari ini kita lihat agenda pemerkasaan mahasiswa di bawah kementerian terlibat masih dirasakan dikawal di bawah tangan-tangan tertentu.

“Kita bercakap tentang kebebasan mahasiswa, tetapi realitinya suara mahasiswa ini masih ditapis dan diketepikan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast