Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Mohamad Hasan pada sesi penggulungan ketika Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Januari 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO bakal mewujudkan kolaborasi agung untuk menyatupadukan parti-parti politik Melayu dan Islam di seluruh negara di bawah satu gabungan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan, penubuhan gabungan itu tidak akan menggugat Kerajaan Perpaduan sedia ada.

“Kolaborasi ini tidak berhajat untuk menggugat kerajaan yang ada. Saya bayangkan memang ada yang merisik dan meminang. Dengan ini risikan dan pinangan itu diterima dengan rasminya.

“Kolaborasi agung ini ditubuhkan dengan syarat tidak mengganggu-gugat Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang.

“Kita mahu supaya kolaborasi agung ini dapat benar-benar menyatukan roh dan perjuangan parti-parti Melayu dan Islam dalam kerangka lebih besar.

“Kita tidak mahu mana-mana parti yang akan menyertai kolaborasi ini membebankan parti-parti mereka,” katanya ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di sini hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, beliau tidak mempunyai sebarang agenda lain di sebalik usul Presiden UMNO itu termasuk untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Perdana Menteri jangan risau, saya takkan ada agenda untuk tebuk atap atau mahu menggugat Kerajaan Perpaduan.

“Ia semata-mata bertujuan untuk menterjemahkan keikhlasan UMNO merangkul semua parti Islam dan Melayu berada di bawah satu bumbung demi kepentingan dan menterjemahkan agenda Islam dan Melayu,” katanya.

Katanya lagi, kolaborasi agung itu juga sebagai langkah awal untuk menterjemahkan jawatankuasa rumah bangsa, musyawarah nasional dan majlis perundingan ummah di peringkat awal.

“Dengan adanya kolaborasi agung ini, kita akan mengetepikan warna-warna yang berbeza dalam kalangan kita, demi Islam, demi Melayu kita harus berada di bawah satu bumbung yang sama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast