KUALA LUMPUR – Wanita UMNO menyatakan sokongan penuh terhadap pendekatan politik realiti yang menumpukan prestasi dan tawaran masa depan kepada rakyat.
Ia selari dengan kehendak pengundi masa kini yang semakin matang dan tidak lagi terpengaruh dengan retorik nostalgia politik, kata Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Menurutnya, UMNO kini berada dalam fasa politik yang berlandaskan realiti semasa di mana pengundi mahu melihat peluang serta tawaran konkrit yang boleh diberikan kepada mereka pada masa hadapan bukan sentimen atau nostalgia lampau.
“Ini bukan lagi masa untuk bersentimen. Rakyat hari ini mahu menilai prestasi. Wanita UMNO memahami dan menerima hakikat ini,” katanya ketika berucap menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari kini.
Noraini menegaskan, Wanita UMNO akan memberikan sokongan padu bagi menjayakan agenda parti seiring keperluan semasa rakyat dan landskap politik negara yang semakin mencabar.
Pada peringkat Wanita, beliau berkata, seluruh jentera akan digerakkan bagi menggembeling usaha dan tenaga untuk menarik semula sokongan daripada segenap lapisan masyarakat khususnya golongan pengundi yang menuntut pendekatan lebih realistik dan berkesan.
Dalam pada itu, Noraini turut menyatakan keyakinan konsep Rumah Bangsa yang diperkenalkan UMNO merupakan wahana baharu parti itu sebagai tempat berteduh dan penyatuan seluruh kekuatan umat Melayu.
“Kami percaya Rumah Bangsa ini akan menjadi platform penting untuk UMNO kembali relevan dan diyakini sebagai parti yang mampu memperjuangkan kepentingan rakyat dan bangsa,” katanya. – MalaysiaGazette
















