Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki pada sidang media selepas Perhimpunan Agung UMNO 2025 di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 17 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta beberapa politik Melayu lain berhubung idea penyatuan orang Melayu.

Menurut beliau, pertemuan yang disifatkan secara tidak langsung itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang keputusan muktamad.

Sehubungan itu beliau membawa perkara tersebut dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 supaya ia dapat diformalisasikan di peringkat UMNO.

Jelasnya, usaha penyatuan parti politik Melayu itu bukan bermaksud mahu mengganggu kestabilan Kerajaan Perpaduan ketika ini atau mengancam kaum-kaum lain sebaliknya lebih menjurus kepada kerjasama berkaitan agenda Melayu.

Malah, tambah Ahmad Zahid, beliau juga telah membangkitkan berkenaan usaha itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut memahami berkenaan matlamat gerakan tersebut.

“Kita harus akur bahawa di mana-mana perhimpunan agung parti-parti politik, perkara ini (peyatuan Melayu) secara langsung atau tidak langsung terus disuarakan.

“Dan langkah UMNO menyambut perkara ini adalah merupakan satu langkah proaktif yang kita sarankan dan saya sendiri bawa ke Perhimpunan Agung UMNO sebagai satu usul oleh presiden untuk diterima oleh para perwakilan,” katanya dalam sidang media selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO menolak usaha penyatuan parti Melayu tersebut digerakkan semula menerusi Muafakat Nasional (MN) memandangkan nama itu sudah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kepada soalan sama ada inisiatif penyatuan Melayu itu akan bertembung dengan idea Payung Besar Melayu, Ahmad Zahid berkata, gerakan tersebut tidak melibatkan UMNO.

Semalam, Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden sempena PAU 2025 mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa sebagai usaha penyatuan Melayu.

Jawatankuasa itu bertujuan menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau secara en bloc ke dalam parti itu.

Ahmad Zahid menambah, usaha itu juga selaras dengan peranan dan tanggungjawan UMNO sebagai `Rumah Bangsa’ iaitu medan untuk menyatukan kembali orang-orang Melayu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast