KUALA LUMPUR – Negara berdepan pelbagai ancaman moden termasuk keselamatan digital, integriti maklumat serta teknologi ‘deepfake’ yang berpotensi membuka ruang kepada penipuan dan menggugat kestabilan sosial.
Ancaman ini menuntut tindakan tegas dan menyeluruh melalui penggubalan undang-undang keselamatan negara yang berkesan, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Baginda bertitah, selain ancaman digital, isu jenayah berat dan keganasan termasuk perbuatan yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja atau “3R” perlu ditangani dengan berkesan demi menjamin keharmonian serta keselamatan rakyat.
“Oleh yang demikian, perlu diwujudkan undang-undang berkaitan keselamatan negara dan ancaman luar negara dengan segera bagi memastikan kedaulatan negara serta keharmonian antara semua kaum sentiasa terpelihara,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut mengalu-alukan usaha memperkukuh kerangka perundangan berkaitan pilihan raya, institusi demokrasi dan pendanaan politik bagi meningkatkan ketelusan serta kebertanggungjawaban dalam pentadbiran negara.
Antara pembaharuan yang disokong termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya, pengenalan akta kebebasan maklumat serta penubuhan institusi Ombudsman.
Menurut baginda, langkah-langkah berkenaan penting bagi memastikan tadbir urus negara kekal kukuh, telus dan selari dengan prinsip demokrasi berperlembagaan. – MalaysiaGazette
















