BENTONG – Enam buah kenderaan mewah pelbagai jenama disita menerusi Ops Luxury di Pos Pertama Polis Bantuan Genting di pada Sabtu dan Ahad lepas.
Operasi bersepadu selama dua hari yang bermula pukul 9 pagi sehingga 6.30 petang itu turut melibatkan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bentong dan Polis Bantuan Genting.
Unit Korporat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang berkata, antara kesalahan yang dikesan membabitkan cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan menggunakan nombor pendaftaran bukan milik kenderaan berkenaan.
Jelasnya, walaupun pelekat cukai jalan tidak lagi wajib dipamerkan, status cukai jalan kenderaan serta maklumat kenderaan masih boleh dikesan melalui semakan digital menggunakan peranti khas sewaktu operasi dijalankan.
“Ibarat penguat kuasa tidak boleh mengesan (kerana tiada pelekat) namun kami mempunyai peranti khas yang boleh menyemak status kenderaan secara serta-merta di lokasi,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua kenderaan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 termasuk satu kes kesalahan nombor pendaftaran palsu disiasat di bawah Seksyen 108(3)(f) akta yang sama.
Sehubungan itu, JPJ Pahang mengingatkan pemilik supaya wajib memastikan kenderaan mereka mematuhi undang-undang dengan memiliki cukai jalan dan insurans yang masih berkuat kuasa sebelum digunakan di jalan raya. – MalaysiaGazette
















