Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil menegaskan tidak akan kembali menyertai parti itu walaupun terdapat seruan agar bekas ahli untuk kembali ke pangkuan UMNO.

Menurut beliau, pendirian itu selagi parti itu bekerjasama dengan DAP atau apa yang disifatkannya sebagai “UMDAP”.

“Ramai ahli UMNO sejati pun tidak mahu UMNO jadi UMDAP apatah lagi yang bukan ahli UMNO atau yang telah dipecat oleh UMDAP akibat kerjasama UMNO dengan DAP.

“Siapa yang suka dengan kerjasama dengan DAP itu teruskan sahajalah, saya tegur pun tak guna tapi jangan ajak saya,” katanya.

Isham dipecat daripada UMNO pada 7 Disember 2023 susulan kritikan hebatnya terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan parti.

Antara kesalahan bekas Ketua Penerangan UMNO itu termasuk mendesak Ahmad Zahid meletak jawatan serta berdebat, mengeluarkan label barua DAP dan tidak hadir mesyuarat parti.

Sabtu lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan parti itu menerima banyak permohonan daripada bekas ahlinya untuk kembali.

Bagaimanapun Asyraf Wajdi memaklumkan permohonan rasmi daripada bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin untuk menyertai semula UMNO belum diterima.

Malah Presiden UMNO turut berkata, UMNO bersedia untuk menerima kembali mana-mana individu atau secara en bloc yang sudah tidak lagi bersama parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast