Suasana perwakilan yang hadir pada perasmian Konvensyen Tahunan DAP Selangor Tahun 2025 di Klang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 18 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor menyeru pucuk pimpinan parti negeri itu mengambil semula kerusi yang diserahkan kepada rakan dalam Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya akan datang.

Dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook, DAPSY Selangor berkata, ia selepas semua pengorbanan dan keikhlasan yang dilakukan parti itu seolah-olah tidak dihargai, sehingga ada yang mendakwa tidak pernah bersama DAP sebagai rakan seperjuangan.

“Maka DAPSY menyeru kepada pimpinan DAP Selangor agar kita mempertimbangkan semula pendirian kita.

“Jika keikhlasan kita tidak dihargai, maka eloklah kita simpan kembali keikhlasan itu dan mengambil semula kerusi yang sepatutnya diberikan kepada rakan, serta mencalonkan rakan kita sendiri dalam PRN (pilihan raya negeri) yang akan datang,” katanya.

Tambahnya, bukan sesuatu yang mudah untuk menyerahkan kerusi berpotensi dimenangi parti itu kepada rakan politik lain.

Malah, katanya, bukan sesuatu yang mudah juga untuk meyakinkan akar umbi DAP bahawa pengorbanan itu perlu dilakukan demi kestabilan politik negara.

“Bukan mudah untuk menjelaskan kepada rakan-rakan dalam DAP bahawa kita perlu menunjukkan keikhlasan demi menjamin perpaduan kerajaan.

“Bukan mudah untuk menarik balik peluang daripada calon yang sepatutnya bertanding di kerusi tersebut,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengingatkan bahawa parti itu pernah berkorban dengan menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua kepada UMNO pada PRN lalu.

Menurutnya, langkah tersebut membuktikan keikhlasan DAP dalam menjayakan kerjasama politik dalam kerangka Pakatan Harapan–Barisan Nasional sebelum ini.

Kenyataan itu susulan kelantangan pemimpin-pemimpin UMNO yang membangkitkan berkenaan kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang baru berakhir, sehingga menimbulkan rasa kurang senang pemimpin dan akar umbi DAP.

Pada PRU-14, DAP memenangi kerusi DUN Dusun Tua dengan majoriti besar iaitu 10,422 undi sebelum kerusi itu diserahkan kepada UMNO atas dasar persefahaman politik pada PRU-15 yang menyaksikan BN menang dengan majoriti 3,014 undi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast