Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin

SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyokong penuh penubuhan Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan sisa elektronik (E- Waste) Dalam Negara dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, ia sebagai satu platform penting untuk membincangkan dan menyelaras tindakan semua agensi terlibat dalam usaha membendung kemasukan barangan tersebut ke Malaysia.

Katanya, bermula 1 Januari 2025, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) telah mengambil peranan JKDM di pintu masuk negara, bermula dengan pelaksanaan di ICQS Rantau Panjang.

“Seterusnya, pada 1 Oktober 2025, AKPS telah beroperasi di 21 pintu masuk utama negara. Secara keseluruhan, AKPS kini berada di 22 pintu masuk utama negara.

“Walaupun peranan tersebut telah diambil alih, JKDM terus memperkukuh komitmennya dengan memastikan setiap pengikraran yang dibuat adalah tepat dan betul, khususnya dalam menangani isu pengimportan sisa plastik dan sisa elektronik.

“JKDM menegaskan bahawa pihaknya tidak mengeluarkan sebarang permit kelulusan, sebaliknya bertanggungjawab melaksanakan serta menguatkuasakan undang-undang tadbiran ditetapkan oleh Other Government Agencies (OGA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, semua aktiviti pengimportan bahan berkenaan hendaklah mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa serta memperoleh kelulusan daripada agensi kawal selia yang ditetapkan oleh Kerajaan.

“Selaras dengan perundangan sedia ada di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, pengimportan e-waste adalah tertakluk kepada kawal selia Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah seliaan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

“Sementara itu, pengimportan sisa plastik berada di bawah kawal selia Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Berhad di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai badan yang bertanggungjawab mengeluarkan permit pengimportan,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kawalan kemasukan barangan yang diklasifikasikan sebagai e-waste dan sisa plastik merupakan dasar di bawah bidang kuasa NRES dan MITI masing-masing selaras dengan peruntukan Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.

Ujarnya lagi, JKDM berusaha memastikan bahawa tiada sebarang dagangan dilepaskan tanpa permit serta dokumen sokongan yang sah danmana-mana kontena yang disyaki mengandungi e-waste, akan diserahkan kepada JAS bagi tujuan pengesahan teknikal serta tindakan lanjut.

“Sementara itu, bagi kes sisa plastik yang tidak menepati kehendak undang-undang, siasatan dan tindakan tegas akan dijalankan sepenuhnya oleh JKDM mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

“Sehingga 30 September 2025, JKDM telah menahan sebanyak 600 buah kontena yang mengandungi sisa elektronik (e-waste) di Pelabuhan Klang, Selangor dan daripada jumlah itu, sebanyak 593 buah kontena telah diserahkan kepada JAS untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast