JOHOR BAHRU – Johor dan Singapura membincangkan kestabilan serantau, keselamatan serta tadbir urus yang berkesan ke arah meningkatkan ekonomi mampan dan keyakinan pelabur.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara tersebut disuarakan dalam pertemuan empat matan antara beliau dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam semalam.
Menurut Onn Hafiz, pertemuan dengan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Singapura itu berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Saujana di sini dilakukan selama kira-kira dua jam.
Antara tujuannya kata Menteri Besar Johor, untuk terus memperkukuh hubungan strategik dua hala dengan Singapura.
“Hubungan erat Johor Singapura sebagai rakan strategik serantau amat signifikan dalam menghadapi cabaran semasa termasuk keselamatan rentas sempadan dan pembangunan ekonomi yang inklusif.
“Persefahaman yang terjalin melalui pertemuan berkenaan diyakini mampu menyumbang kepada persekitaran yang lebih stabil dan kondusif, sekali gus memperkukuh daya saing Johor menjelang sasaran pembangunan negeri 2030,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pertemuan itu turut menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menekankan kepentingan usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan strategik dua hala antara Johor dan Singapura.
Jelasnya, ia berlandaskan kepentingan bersama-sama serta kemakmuran serantau.- MalaysiaGazette
















