MELAKA – Kerajaan negeri mengumumkan cuti khas buat penjawat awam negeri sempena 1 Ramadan yang dijangka jatuh pada 19 Februari ini sebagai penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka sepanjang tahun lalu.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, keputusan itu mengambil kira komitmen tinggi penjawat awam negeri yang bertungkus-lumus menjayakan pelbagai program dan inisiatif kerajaan negeri.
“Maka dengan sukacitanya saya mengumumkan kerajaan negeri akan memberi cuti khas kepada semua penjawat awam di Melaka menjelang 1 Ramadan tahun ini.
“Semoga dengan cuti Ramadan, dapat mendekatkan yang jauh dapat memesrakan yang telah lama tak dapat bersama-sama, mudah-mudahan cuti ini dapat dimanfaatkan untuk membuat persiapan menyambut Ramadan bersama keluarga,” katanya.

Beliau mengumumkan berita gembira itu dalam ucapan Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini hari ini disusuli tepukan gemuruh penjawat awam.
Menurut Ab Rauf, cuti khas itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penjawat awam sebagai pengganti masa dan tenaga yang telah dicurahkan dalam membantu pelaksanaan agenda pembangunan negeri tahun lalu.
Susulan pengumuman tersebut, Melaka bakal menikmati enam hari cuti umum dan hujung minggu berturut-turut pada minggu ketiga Februari ini.
Ia bermula sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 dan 18 Februari, cuti khas 1 Ramadan pada 19 Februari, Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Februari serta cuti hujung minggu pada 21 dan 22 Februari. – MalaysiaGazette
















