Oleh: Dr. Ahamad Jama’ Amin Yang
SETIAP kali orang Melayu dibicarakan dalam wacana awam, perbahasan itu hampir selalu bermula dengan nada penghakiman. Melayu mudah lupa, Melayu malas, Melayu gagal atau Melayu tidak berdaya saing. Ungkapan ini bukan sahaja diulang dalam perbualan harian, malah dinormalisasikan dalam tulisan ilmiah dan komentar intelektual. Tanpa disedari, bahasa yang digunakan telah membentuk satu kerangka makna yang memenjarakan Melayu dalam citra kegagalan yang dianggap semula jadi dan berterusan.
Masalah utama bukan terletak pada kritikan itu sendiri, kerana setiap masyarakat wajar dikritik demi kemajuan. Masalahnya ialah cara kritikan tersebut dirumuskan. Orang Melayu sering dibicarakan seolah-olah mereka wujud di luar sejarah, terpisah daripada pengalaman penjajahan, ketidakseimbangan struktur ekonomi dan pergolakan dasar pendidikan yang berpanjangan. Akibatnya, persoalan yang bersifat sistemik diturunkan darjatnya menjadi kelemahan watak kolektif.
Dalam konteks ini, distorsi makna berlaku apabila realiti yang kompleks dipermudahkan menjadi penjelasan psikologi budaya. Kelemahan struktur ditafsir sebagai kecacatan mentaliti. Kegagalan dasar awam dipindahkan bebannya kepada individu dan komuniti. Wacana sebegini bukan sahaja tidak adil, malah menutup ruang untuk analisis yang lebih jujur dan berkesan.
Sarjana seperti Za’aba, Syed Hussein Alatas dan Khoo Khay Kim telah lama mengingatkan kecenderungan menyalahkan masyarakat terjajah atas kemunduran mereka sendiri merupakan warisan pemikiran kolonial. Ironinya, amaran ini sering diabaikan apabila Melayu sendiri dijadikan sasaran kritikan yang tidak lagi membezakan antara struktur dan subjek. Di sinilah kegagalan epistemik mula berakar, apabila pengetahuan tidak lagi berfungsi untuk memahami, tetapi untuk menghakimi.
Melayu sebagai subjek gagal dalam wacana awam
Dalam banyak tulisan dan komentar, Melayu sering dirumuskan sebagai subjek yang gagal dalam hampir semua ruang awam. Gagal dalam ekonomi kerana bergantung kepada perlindungan. Gagal dalam pendidikan kerana kurang disiplin. Gagal dalam politik kerana terikat dengan kesetiaan sempit. Rumusan menyeluruh ini kedengaran tegas dan meyakinkan, namun hakikatnya ia rapuh dari sudut analisis.
Data kajian terkini oleh Bank Dunia dan Unesco sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan jurang pencapaian pendidikan dan ekonomi dalam masyarakat majmuk lebih berkait rapat dengan faktor sosioekonomi dan akses kepada sumber, bukannya latar budaya semata-mata. Namun, dapatan empirikal ini jarang diberi tempat dalam wacana mengenai Melayu.
Sebaliknya, penjelasan mudah yang menyalahkan sikap dan mentaliti terus diulang kerana lebih cepat difahami dan mudah diterima. Hujah Clive Kessler tentang krisis subjek Melayu moden sering digunakan untuk mengukuhkan gambaran Melayu ialah subjek yang dibentuk, bukan pembentuk.
Walaupun hujah ini mempunyai nilai analitis dalam kerangka tertentu, penerimaannya secara mutlak telah melahirkan satu bentuk penghakiman simbolik. Melayu dilihat sebagai tidak memiliki agensi sejarah, seolah-olah segala tindakannya hanya reaksi pasif terhadap struktur.
Pendekatan ini mengabaikan hakikat bahawa orang Melayu turut membentuk institusi politik, budaya dan sosial negara ini melalui proses rundingan, penentangan dan penyesuaian. Menafikan agensi ini bermakna menafikan sejarah itu sendiri. Lebih parah, ia membentuk satu wacana yang secara halus mewajarkan keperluan untuk terus mendidik, membimbing dan membetulkan Melayu dari luar, tanpa pernah mengiktiraf suara dan pengalaman mereka sebagai sah.
Kesetiaan politik dan salah tafsir budaya penaung
Perbahasan tentang orang Melayu hampir tidak pernah lari daripada isu kesetiaan politik. Karya Chandra Muzaffar, ‘Pelindung Amalan Taat Setia Masyarakat Melayu’ sering dijadikan rujukan utama untuk menjelaskan kecenderungan ini. Namun, dalam wacana awam, gagasan tersebut kerap ditanggalkan daripada konteks asalnya dan dijadikan bukti Melayu bersifat feudal dan tidak rasional.
Dalam kajian antropologi politik, hubungan penaung dan pengikut difahami sebagai mekanisme sosial yang muncul dalam keadaan ketidakseimbangan kuasa dan ketidakpastian ekonomi. James C. Scott menegaskan kesetiaan dalam masyarakat pascakolonial sering merupakan strategi rasional untuk kelangsungan hidup, bukannya tanda ketaatan membuta tuli. Apabila konteks ini diabaikan, budaya kesetiaan Melayu ditafsir secara moralistik dan bukannya analitis.
Distorsi makna ini memberi kesan besar kepada cara politik Melayu dinilai. Setiap bentuk sokongan ditafsir sebagai ketaksuban. Setiap bentuk kesetiaan dianggap kelemahan intelektual. Dalam masa yang sama, perubahan dalam kesedaran politik Melayu, peningkatan tuntutan terhadap ketelusan dan keberanian mencabar autoriti jarang diberi perhatian kerana
tidak selari dengan naratif sedia ada.
Kajian terkini tentang tingkah laku pengundi dan penyertaan sivik di Malaysia menunjukkan pengundi Melayu semakin kritikal terhadap isu kos sara hidup, tadbir urus dan keadilan sosial. Realiti ini bercanggah dengan gambaran statik Melayu sebagai komuniti yang tidak berubah. Namun, realiti yang bercanggah inilah yang sering diketepikan kerana ia menggugat kerangka makna yang telah lama dibakukan.
Distorsi makna terhadap orang Melayu akhirnya mencerminkan kegagalan membina keadilan wacana. Selagi Melayu terus dibicarakan sebagai masalah yang perlu diperbetulkan, bukan sebagai subjek yang perlu difahami, selagi itulah wacana ini tidak akan menghasilkan solusi yang bermakna. Kritikan yang adil tidak bermula dengan stereotaip, tetapi dengan kesediaan untuk membaca realiti secara jujur dan berlapik.
Sarjana seperti Rustam A. Sani, Abdul Rahman Embong, Shamsul Amri Baharuddin, Ahmat Adam dan Farish A. Noor mengingatkan identiti Melayu sentiasa bergerak dan dinegosiasikan. Ia dibentuk oleh sejarah kolonialisme, nasionalisme dan tekanan global. Oleh itu, usaha memahami Melayu menuntut kerangka yang lebih matang, yang tidak terperangkap dalam pengulangan naratif lama.
Distorsi makna terhadap orang Melayu bukan sekadar kesilapan bahasa, tetapi kesilapan cara berfikir. Ia lahir daripada keinginan untuk mencari jawapan mudah bagi persoalan yang kompleks. Selagi Melayu terus dilihat melalui lensa stereotaip dan penghakiman, selagi itulah wacana tentang Melayu gagal menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih adil dan berfikir. Apa yang diperlukan ialah keberanian intelektual untuk menyoal kembali cara kita menafsir, bukan sekadar siapa yang ditafsir.
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Sejarah, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah merangkap Felo Bersekutu Royal Historical Society, United Kingdom.















