MELAKA – Pendekatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang mengutamakan kerjasama rentas parti demi kepentingan rakyat menerima pujian meluas netizen.
Rata-rata komen di media sosial menyifatkan usaha membawa permohonan peruntukan naik taraf Masjid Laksamana Hang Tuah
berjumlah RM1.5 juta sebagai contoh politik matang, profesional dan berfokuskan hasil, sekali gus menolak politik emosi serta sentimen perkauman.
Reaksi positif itu dizahirkan menerusi lebih 70 peratus daripada 1,300 komen di hantaran Facebook Mohd Noor Helmy, mencerminkan penerimaan rakyat pelbagai lapisan terhadap pendekatan politik berteras kerjasama, tatakelola dan manfaat bersama.
Pengguna Facebook Azimin Shafie menekankan kepentingan kerjasama antara ADUN UMNO itu dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mewakili DAP dalam struktur pentadbiran sedia ada.
“DUN Duyong berada dalam Parlimen Kota Melaka. Kerjasama antara ADUN dan Ahli Parlimen amat penting untuk kebaikan rakyat bersama.
“Dengan semangat kerjasama ini, peruntukan masjid dapat diusahakan dari peringkat Persekutuan. Tahniah. Politik matang,” tulisnya.
Nada sama disuarakan Yogeswaran Krishnan yang menyifatkan tindakan itu wajar dicontohi oleh pemimpin lain.
“Walaupun ada perbezaan politik, keutamaan rakyat didahulukan. Politik matang yang patut dicontohi,” katanya.
Pandangan tersebut turut dikongsi Philip Lim dan Za Rahman yang berpandangan rakyat kini semakin bijak menilai prestasi wakil rakyat berbanding retorik politik semata-mata.
“Berpolitik secara sihat dan matang bukan sahaja menguntungkan rakyat tetapi juga membawa kesejahteraan kepada negara. Jangan asyik bermain retorik. Terbaik YB,” kata mereka.
Sementara itu, Diriku N Dirimu menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai gambaran keindahan demokrasi dalam masyarakat majmuk.
“Politik ialah pertembungan ideologi untuk memakmurkan negara. Di sebalik perbezaan pendapat, kita semua rakyat Malaysia,” katanya.
DecoReno Home pula memuji sikap terbuka Mohd Noor Helmy yang sanggup berurusan dengan mana-mana pihak asalkan memberi manfaat kepada rakyat Duyong.
Dalam pada itu, Mohd Noor Helmy turut menjawab kritikan dengan menegaskan beliau bertindak mengikut saluran yang betul demi kepentingan rakyat.
“Dia bukan ‘abang besar’, dia ahli Parlimen yang sama datang dari Pakatan Harapan. Hari uni amanah kuasa itu ada padanya.
“Kerana tidak persetujuan kita dalam sahsiah politik, nak biarkan rakyat menjadi mangsa?” soalnya.
Tegasnya, tanggungjawab wakil rakyat tidak seharusnya terikat dengan sentimen politik sempit sebaliknya amanah kuasa ketika ini yang berada di peringkat Parlimen perlu dimanfaatkan demi kebajikan masyarakat. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Poay Tiong janji bawa permohonan naik taraf Masjid Laksamana Hang Tuah kepada PM
















