Keadaan seorang pelajar lelaki sebuah universiti yang terbaring dan cedera selepas dipercayai disondol seekor babi hutan melintas ketika menunggang motosikal di Padang Keladi, Durian Tunggal, Melaka malam semalam.

ALOR GAJAH – Seorang pelajar universiti cedera selepas dipercayai disondol seekor babi hutan yang melintas jalan ketika menunggang motosikal di Padang Keladi, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa lelaki berusia 19 tahun yang merupakan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh cedera di mulut termasuk beberapa batang gigi patah serta gusi koyak.

Abang ipar mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahra Abba berkata, kejadian berlaku ketika adik iparnya dalam perjalanan dari rumah keluarga di Kampung Pulau, Durian Tunggal menuju ke kampus pengajiannya.

“Sebaik tiba di hadapan kawasan Go Kart Padang Keladi (Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC), Durian Tunggal),mangsa disondol secara tiba-tiba oleh seekor babi hutan yang melintas jalan.

“Kawasan itu pula memang gelap dan tidak mempunyai lampu jalan malah saya difahamkan pernah berlaku beberapa kemalangan sebelum itu,” katanya.

Menurutnya, adik iparnya itu kini menerima rawatan di Hospital Melaka dan dilaporkan masih mengalami trauma akibat kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkaitan kejadian tersebut setakat ini.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka, Petra Sulai berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast