BENTONG – Seorang pelajar maut manakala 10 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di kilometer 19.4 Lingkaran Tengah Utama (CSR) arah Raub, di sini kira-kira jam 7.23 petang semalam.
Tiga kenderaan terlibat ialah sebuah kereta jenis Toyota Yaris, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard serta sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian dilaporkan berlaku ketika cuaca hujan di lokasi terbabit.
“Nahas berlaku apabila Toyota Yaris yang datang datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Raub hilang kawalan ketika melalui jalan lurus lalu terbabas ke dalam longkang di bahu jalan dan berpusing ke arah bertentangan.
Pada masa sama, Toyota Alphard yang datang dari arah sama dipercayai turut hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang jalan lalu menggelongsor menghempap Toyota Yaris itu.
Kemudian, sebuah Ford Ranger yang melalui laluan sama dipercayai juga hilang kawalan susulan daripada kemalangan yang berlaku di hadapan lalu terbabas ke dalam longkang konkrit kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.
“Akibat kemalangan itu, penumpang kereta bernama Puteri Nursyakirah Suzaimi berusia 19 tahun telah tercampak keluar daripada kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Manakala pemandu kereta, seorang penuntut lelaki warga asing berusia 20 tahun di sebuah pusat pengajian tinggi pula cedera ringan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.
Kejadian itu juga menyebabkan pemandu serta tiga penumpang Toyota Alphard termasuk seorang bayi perempuan berusia lingkungan umur setahun hingga 74 tahun cedera ringan.
Manakala, pemandu Ford Ranger dan penumpangnya seramai empat orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia antara tiga tahun sehingga 23 tahun juga cedera ringan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk pemeriksaan teknikal kenderaan di PUSPAKOM serta pengambilan sampel darah dan ujian air kencing pemandu yang terbabit.
Bagaimanapun, Zaiham menyeru mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















