KUALA LUMPUR – Kami dalam situasi terdesak, beri UMNO Kedah autonomi untuk kami tentukan hala tuju dan putuskan juga hubungan dengan Pakatan Harapan (PH).
Demikian kata Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Saiful Hazizi Zainul Abidin.
Beliau berkata, keretakan hubungan antara UMNO dan rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan peringkat negeri Kedah kini semakin meruncing.
“Kerjasama yang dilaungkan di peringkat Pusat sama sekali tidak dirasai di Kedah. Bila tiada autonomi, UMNO Kedah seolah-olah terkunci dalam hubungan yang tak ada manfaat politik kepada kami.
“Jadikan Kedah sebagai medan ujian untuk parti itu bergerak secara solo.
“Kita tidak bekerjasama dengan PH sebaliknya UMNO, Barisan Nasional fokus membina semula kekuatan sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata, strategi itu dilihat mampu memberi breakthrough baru bagi memecahkan kebuntuan yang dihadapi sejak dua tiga tahun lalu.
“Kita tidak ada masa lagi untuk sebarang uji kaji yang tidak pasti. Ada beberapa menteri dari PKR Kedah yang macam pinggirkan UMNO dalam urusan penyelarasan projek untuk rakyat.
“Sudah dekat tiga tahun, perbincangan strategik pun tak berlaku. Kita seolah-olah diketepikan dalam agenda pembangunan rakyat di negeri sendiri.
“Jika dibenarkan autonomi, kita mahu bebas untuk bergerak sendiri atau mencari rakan gandingan yang lebih menghormati prinsip kerjasama untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.
Jelasnya, tuntutan autonomi dan keputusan untuk bergerak solo bukan sekadar retorik tetapi langkah taktikal untuk memulihkan imej parti di mata pengundi Melayu di Kedah.
“Langkah keluar daripada bayang-bayang Kerajaan Perpaduan di Kedah akan membolehkan UMNO Kedah bernafas semula tanpa perlu memikul beban persepsi negatif yang dikaitkan dengan rakan gabungan tertentu.
“Kalau kita bergerak solo, kita melepaskan satu beban besar daripada bahu kita termasuklah beban isu DAP. Kita fokus rakyat dan bina balik parti dengan cara kita sendiri,” katanya.
Ketika ditanya adalah perkara yang sama akan dibawa kepada pengurusan tertinggi termasuk mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Saiful Hazizi berkata, usul autonomi akan dibentangkan dalam mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri.
“Selepas itu barulh diangkat untuk pertimbangan Majlis Kerja Tertinggi dan pucuk pimpinan UMNO Malaysia. Keputusan ini harus dilakukan segera kerana Kedah tidak ada autonomi sekarang.
“Segala-galanya bergantung kepada restu di peringkat Pusat dan kami berharap suara kami didengari demi kelangsungan UMNO di Kedah,” katanya. – MalaysiaGazette
















