KUALA LUMPUR – Pas Kedah tidak perlu panik atau bersikap defensif terhadap sebarang sasaran politik yang diletakkan oleh UMNO negeri itu.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, reaksi berlebihan yang ditunjukkan pemimpin Pas Kedah itu hanya mengesahkan satu perkara iaitu wujud kegusaran sebenar terhadap kebangkitan semula UMNO Kedah.
Menurutnya, politik sandiwara mungkin masih laku dalam kalangan penyokong tegar, tetapi realitinya rakyat Kedah hari ini semakin bijak menilai antara retorik dan prestasi.
Ujar beliau, angka boleh dimanipulasi dan sentimen boleh ditiup, tetapi kegagalan mentadbir tidak boleh disorok selama-lamanya.
“Walaupun UMNO Kedah sedar cabaran yang ada bukan kecil, parti ini yakin dengan agenda pembaharuan, hala tuju baharu serta kepimpinan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang membawa pendekatan lebih realistik, berprinsip dan berasaskan kerja serta bukan laungan kosong,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mempertikai keyakinan UMNO Kedah untuk merampas semula negeri itu sekiranya bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Menurut Shaiful Hazizy, daripada terus over thinking dan cuba membaca setiap gerak kerja UMNO Kedah, adalah lebih baik Sanusi menumpukan perhatian kepada masalah sebenar dalam rumah tangga politiknya sendiri.
Ujarnya, hubungan Pas dan Bersatu yang kononnya kukuh kini semakin jelas menunjukkan tanda-tanda keretakan dan keletihan, dan rakyat sedang memerhati dengan mata terbuka.
Lebih memalukan, tambah belliau, kegagalan kepimpinan negeri untuk mempertahankan prestasi barisan Exco sendiri cuba ditutup dengan serangan politik terhadap UMNO.
“Hakikatnya, rekod pencapaian kerajaan negeri Kedah hari ini semakin dipersoalkan dari tadbir urus, pembangunan, hinggalah kebajikan rakyat.
“Ini bukan persepsi, tetapi realiti yang dirasai di lapangan,” katanya. – MalaysiaGazette
















