SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memasuki tahun 2026 dengan tekad yang lebih jelas, berani dan agresif dalam memerangi rasuah, selari dengan cabaran semasa yang semakin kompleks.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam Amanat
Tahun Baharu yang disampaikan kepada seluruh warga SPRM
baru-baru ini,menegaskan bahawa usaha membanteras rasuah tidak boleh lagi bersifat rutin atau reaktif, sebaliknya mesti dilaksanakan secara strategik, berimpak tinggi dan berpaksikan keutamaan nasional.
Beliau berkata, pencapaian sepanjang tempoh 2023 hingga 2025
membuktikan SPRM berada di landasan yang betul, khususnya dalam aspek penguatkuasaan, pencegahan dan pengurusan.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 3,523 tangkapan direkodkan, selain kejayaan membongkar pelbagai kes berprofil tinggi dan kes sindiket yang memberi kesan besar kepada kepentingan awam dan negara.
“Namun, membina kecemerlangan itu sukar dan menjatuhkannya
pula sangat mudah. Kita boleh hilang segala yang telah dibina dalam sekelip mata jika leka dan tidak berhati-hati,” katanya.
Sehubungan itu, Azam mengumumkan Pelan Strategik SPRM
2026–2030 yang berteraskan iaitu Pemerkasaan Penguatkuasaan Berkesan, Pencegahan Rasuah yang Menyeluruh dan Pengurusan yang Efektif.
Pendekatan ini menjadi kerangka utama bagi memastikan tindakan SPRM kekal relevan dan diyakini rakyat.
Beliau menegaskan bahawa penguatkuasaan kekal sebagai teras
utama SPRM kerana ia adalah tuntutan masyarakat.
Justeru, pendekatan akan diperkasakan dengan fokus kepada sektor berisiko tinggi seperti perolehan kerajaan, penguatkuasaan di sempadan, penyeludupan, perjudian, pemerdagangan manusia serta pengurusan dana awam.
Justeru, setiap Pengarah SPRM Negeri dan Bahagian diarahkan perlu mengenal pasti risiko rasuah di peringkat individu, organisasi, sektor, negeri dan negara, selaras dengan realiti bahawa corak rasuah berbeza mengikut geografi, budaya serta ekosistem ekonomi setempat.
Dalam aspek pengubahan wang haram, Azam berkata, SPRM
akan terus memperkukuh rejim Pencegahan Pengubahan Wang
Haram(AML) secara berstruktur dan berpusat melalui Bahagian AML.
Pencapaian Malaysia mencapai status dalam Mutual Evaluation FATF di Paris pada Oktober 2025, adalah pengiktirafan antarabangsa terhadap keupayaan negara, khususnya SPRM dalam menangani jenayah kewangan.
“Pengiktirafan ini bukan untuk diraikan, tetapi amanah besar yang
mesti dipertahankan. Kita perlu bergerak lebih agresif dalam pengesanan, penyiasatan dan pemulihan aset yang dicuri untuk
dikembalikan kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, SPRM akan memperluaskan pendekatan Pasukan
Petugas Pelbagai Agensi (MATF) yang telah ditubuhkan pada 2018
secara sinergi dalamkes-kes penguatkuasaan.
Penubuhan MATF bertujuan menyelaras siasatan, tindakan
perundangan serta pemulihan aset yang disalahgunakan dan antara kejayaan pasukan itu menerusi beberapa operasi seperti Op White (kes penyelewengan perolehan dan susu tepung kontrak kerajaan) dan Op Karen (kes berkaitan sindiket penyelupan minyak diesel dan petrol di Sarawak).
Beliau turut menekankan kepentingan siasatan berteraskan
teknologi, termasuk penggunaan AI, data analitik, forensik digital dan ‘big data’ bagi memastikan SPRM bergerak lebih pantas daripada penjenayah.
Menurutnya, pelaburan dalam teknologi bukan lagi pilihan, tetapi
keperluanmendesak bagi menangani jenayah kewangan moden.
Dalam masa sama, Sektor Pencegahan diarahkan melaksanakan
penilaian risiko rasuah secara dipacu oleh data (melalui pewujudan Risk Register bagi hampir 900 entiti sektor awam dan 787 Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK).
Langkah ini bertujuan memastikan pencegahan rasuah dilaksanakan secara proaktif dan berfokus, bukan sekadar menunggu aduan atau kes berlaku dengan mengenal pasti risiko rasuah berdasarkan analisis SPRM sendiri.
Azam juga menggesa pendekatan komunikasi antirasuah yang lebih kreatif dan berimpak, termasuk penggunaan seni, platform digital dan kolaborasi strategik bersama media serta institusi akademik.
Menurutnya, program besar-besaran tanpa kesan jangka panjang
perlu dielakkan, sebaliknya tumpuan harus diberikan kepada mesej yang konsisten, mudah diingati dan memberi perubahan tingkah laku.
Dalam amanat sama, beliau turut menekankan aspek pengurusan
dalaman, termasuk sistem sokongan yang cekap, budaya keseronokan bekerja, pembangunan kompetensi pegawai serta
perancangan pelan penggantian bagi memastikan kelangsungan
kepimpinan SPRM.
Sebagai simbol komitmen baharu, Azam mengumumkan slogan baharu SPRM, “Bold and Radical in Fighting Corruption” atau “Berani dan Radikal Perangi Rasuah”, yang mengantikan slogan lama iaitu Rasuah Dihina, Maruah Dibina.
Slogan itu, katanya, mencerminkan kesediaan SPRM untuk bertindak tegas dan agresif mengikut lunas undang-undang, sejajar dengan peringatan Perdana Menteri agar tindakan keras terhadap perasuah dilaksanakan tanpamelanggar prinsip perundangan.
Azam turut mengingatkan warga SPRM supaya tidak terbuai
dengan pujian atau tunduk dengan kecaman.
“Apabila dipuji, itulah saat kita perlu lebih berwaspada. Harapan
rakyat tinggi dan tanggungjawab kita semakin berat. Prinsip kita
mesti jelas – dipuji tidak terbang, dikeji tidak tumbang,” katanya.
Amanat itu sekali gus menjadi penegasan bahawa SPRM akan terus kekal sebagai benteng utama negara dalam usaha membina
Malaysia yang bebas daripada rasuah.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hisyam Mohd Yusoff.Hisyam Mohd Yusoff
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
















