KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) wajar mempertimbangkan penerimaan parti-parti yang selama ini dikenali sebagai Friends of BN termasuk Makkal Sakti sebagai parti penuh komponen BN.
Apatah lagi, kata Presidennya, Datuk Seri RS Thanenthira, parti Makkal Sakti telah setia bersama BN hampir 17 tahun.
Menurutnya, parti itu setiap tahun mengemukakan resolusi untuk diterima sebagai komponen BN, namun sehingga kini masih belum direalisasikan.
“Pada pandangan kami, the more the merrier…lagi ramai rakan setia, lagi kukuh Barisan Nasional,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kemasukan semula Parti Progresif Penduduk (PPP) sebagai parti komponen BN pada Perhimpunan Agung PPP kali ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini.
Sebelum ini, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran PPP susulan krisis perebutan jawatan yang berlaku pada 2018, sekali gus menyebabkan parti itu terkeluar daripada BN.
Menerusi surat bertarikh 25 November lalu, RoS mengesahkan PPP kembali semula ke dalam BN dengan formaliti mengenai perkara itu akan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi BN pada Rabu ini.
Sementara itu, Thanenthira berkata, BN sebelum ini pernah mempunyai sehingga 14 parti komponen penuh, justeru penerimaan parti Friends of BN seperti Makkal Sakti; Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) dan beberapa parti politik lain yang setia akan mengukuhkan lagi kedudukan BN.
Tambah beliau, pihaknya juga mengambil maklum yang mana MIC sendiri tidak membantah kemasukan parti-parti Friends of BN tersebut.
Sehubungan itu, beliau berharap mesyuarat Majlis Tertinggi BN nanti dapat mempertimbangkan serta mencadangkan penerimaan parti Friends of BN yang telah setia sejak dahulu, kini dan selamanya, demi pengukuhan dan kestabilan BN. – MalaysiaGazette
















