KUALA LUMPUR – Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan asas pembentukan Malaysia adalah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan peringatan yang amat bermakna.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, titah itu menegaskan negara ini dibina atas semangat perpaduan, hormat-menghormati serta kerjasama erat antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Tambahnya, beliau turut menyambut baik seruan supaya seluruh rakyat kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia, serta peringatan supaya semua pihak berhati-hati dan tidak menghasut sehingga mewujudkan ketegangan antara wilayah.
Ujarnya, sebarang perbezaan pandangan wajar diselesaikan secara matang, berhemah dan berlandaskan semangat kebersamaan, bukan melalui kebencian atau syak wasangka.
Jelasnya, kerajaan kekal komited untuk melaksanakan MA63 secara berperingkat, berfakta dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dengan mengutamakan prinsip keadilan, ketelusan serta hasil yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah dan Sarawak.
“Usaha berterusan ini merangkumi penambahbaikan kerangka perundangan dan perlembagaan, penurunan kuasa pentadbiran yang munasabah, serta pengukuhan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah serta Sarawak melalui mekanisme rundingan yang konstruktif dan berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mustapha, dalam konteks pembinaan negara bangsa dan memperkukuh perpaduan nasional, Pelan Pendidikan Negara yang bakal diluncurkan diharap dapat memberi penekanan yang lebih jelas terhadap sejarah pembentukan Malaysia.
Ia termasuk semangat dan makna MA63, agar difahami secara menyeluruh oleh generasi muda.
Kata belau, pelaksanaan MA63 bukan sekadar memenuhi tuntutan perjanjian, tetapi merupakan agenda nasional masa hadapan negara.
Ia jelasnya, bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang, pengurusan sumber yang berkesan serta penyampaian perkhidmatan awam yang lebih responsif dan berintegriti.
“Menjunjung titah Seri Paduka Baginda, Kerajaan MADANI akan terus memastikan semangat MA63 diterjemahkan melalui tindakan yang konkrit dan berpaksikan kepentingan rakyat, demi memperkukuh perpaduan Persekutuan serta menjamin kestabilan dan kemakmuran Malaysia secara menyeluruh,” katanya.
Sultan Ibrahim hari ini mengingatkan semua ahli parlimen supaya kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia yang berteraskan perpaduan, hormat-menghormati serta kerjasama erat antara negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Seri Paduka Baginda bertitah, asas pembentukan Malaysia melalui MA63 telah menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara berdaulat.
Peringatan itu disampaikan Sultan Ibrahim ketika bertitah dalam Titah Diraja pada Sidang Dewan Rakyat bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15, hari ini. – MalaysiaGazette















