Gambar lokasi kejadian pejalan kaki dilanggar penunggang motosikal di Jalan Bandar Tun Razak Rompin hari ini

ROMPIN – Seorang wanita warga emas maut setelah cedera parah dilanggar sebuah motosikal ketika sedang berjalan kaki di bahu jalan di Jalan Dato Shahbandar Bandar Tun Razak, di sini kira-kira jam 7.45 pagi tadi.

Ketua Polis Derah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa bernama Hamimah Ali, 65 disahkan meninggal dunia ketika sedang diberi rawatan di hospital empat jam selepas kejadian.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati, motosikal jenis Yamaha 110 dinaiki seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun sedang bergerak dari Felda Keratong 01 menghala ke gerai makan berhampiran Klinik Kesihatan Bandar Tun Razak, manakala mangsa pula sedang berjalan kaki di bahu jalan dari arah yang sama.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, penunggang motosikal itu mengalihkan pandangan ke arah samping sebelah kanan sambil meneruskan perjalanan ke gerai makan dan telah melanggar mangsa,” katanya.

Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah, di sini untuk menerima rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.42 pagi.

Penunggang motosikal itu yang merupakan seorang peneroka hanya mengalami kecederaan pada ibu jari kaki sebelah kiri.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast