GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mendedahkan perjanjian konsesi lebuh raya kepada umum sebagai langkah penting ke arah ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam membuat keputusan melibatkan kepentingan awam.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, selepas hampir empat dekad pelaksanaan lebuh raya bertol di negara ini, rakyat berhak mengetahui kandungan perjanjian yang memberi kesan langsung kepada kewangan awam dan pengguna jalan raya.
“Perjanjian konsesi lebuh raya lazimnya bersifat jangka panjang antara 30 hingga 50 tahun, dan menetapkan mekanisme kadar tol termasuk syarat semakan serta pampasan kepada syarikat konsesi sekiranya kerajaan membekukan kenaikan tol atas faktor dasar.
“Beberapa perjanjian juga mengandungi klausa jaminan jumlah trafik, di mana kerajaan perlu membayar pampasan sekiranya jumlah kenderaan tidak mencapai paras dipersetujui sekali gus memindahkan risiko komersial kepada kerajaan,” katanya hari ini.
Tambah Mohideen, walaupun lebuh raya bertol memberi kesan besar kepada rakyat, kebanyakan perjanjian konsesi masih dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan klausa kerahsiaan komersial, menyebabkan ia tidak boleh didedahkan atau diterbitkan tanpa persetujuan pemegang konsesi.
“Alasan kerahsiaan itu tidak wajar kerana perjanjian konsesi adalah kontrak awam utama yang melibatkan obligasi fiskal jangka panjang kerajaan.
“Jika kerajaan dan rakyat perlu menanggung implikasi kewangan daripada perjanjian ini, maka syarat-syaratnya mesti terbuka kepada penelitian Parlimen dan orang awam,” katanya.
Mohideen turut mempersoalkan rasional pampasan kepada syarikat konsesi apabila trafik rendah, sambil menegaskan bahawa risiko merupakan elemen asas dalam mana-mana pelaburan dan tidak seharusnya dilindungi sepenuhnya oleh dana awam.
“Kita menggesa kerajaan mengambil alih lebuh raya selepas tempoh konsesi tamat, selaras dengan amalan di banyak negara lain yang hanya menyunting maklumat komersial sensitif secara terhad bagi memastikan ketelusan.
“Ketelusan membolehkan masyarakat sivil dan pakar bebas menilai sama ada perjanjian ini benar-benar memberi nilai untuk wang kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette















