KENYATAAN akhbar Amanah berkenaan kenyataan Abdul Hadi Awang berkaitan isu perpaduan Melayu-Islam.

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang digesa berhenti melabel dan menghina sesama Islam dengan istilah-istilah yang mencederakan persaudaraan seperti ‘syaitan bisu’ dan seumpamanya.

Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Zamir Ghazali berkata, gelaran sebegitu bukan sahaja mencemar wacana politik malah bercanggah dengan akhlak Islam serta bertentangan dengan adab Melayu yang menjunjung tinggi kesantunan, hikmah dan hormat-menghormati.

Dalam masa sama, ujar beliau, bahasa takfiri, pelabelan dan celaan juga tidak mencerminkan sunnah politik Islam.

“Saya menggesa Presiden Pas untuk berlapang dada dan bercakap secara rasional khususnya dalam isu-isu berkaitan masa depan orang Melayu, keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.

“Retorik yang mengheret emosi, membelah umat dan menghakimi niat pihak lain tidak membantu menyelesaikan cabaran sebenar yang dihadapi bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan kenyataan Abdul Hadi yang beranggapan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas pilihan raya umum (PRU) lalu turut melibatkan `syaitan bisu’ serta kumpulan lain yang tidak selairan dengan parti tersebut.

Sementara itu, Zamir berkata, sejarah tradisi Melayu juga mengajar bahawa ketegasan boleh dizahirkan tanpa merendahkan maruah orang lain.

Ujar beliau, teguran seharusnya berunsurkan membina, menasihati dan menyatukan.

Atas dasar itu, beliau mengajak mana-mana pihak termasuk wakil Abdul Hadi sendiri untuk duduk semeja bagi membincangkan maslahah rakyat, kestabilan negara dan kebajikan ummah.

Jelasnya, sebagai parti yang bertanggungjawab dalam pentadbiran negara, Amanah bersedia memainkan peranan sebagai pemudah cara serta bersedia menjadi pemula bicara.

“Dalam suasana damai, segala agenda Islam yang suci dapat dilaksanakan. Bukan sentimen kebencian dan perasaan memonopoli kebenaran dek kerana parti kita berjenama Islam,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast