KUANTAN – Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dan adik lelakinya ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM30,000.00 sebagai balasan melepaskan individu yang terlibat dalam kes jenayah narkotik.
Perintah reman selama lima hari sehingga 24 Januari 2026 dikeluarkan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhari selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua mereka yang berusia lingkungan 20 dan 30-an itu telah ditahan kira-kira jam 4.30 petang dan 9 malam, semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Pahang.
“Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2021 hingga 2025.
“Kedua-dua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah berjumlah antara RM1,000 hingga RM7,000 setiap bulan yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik suspek lelaki,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















