JASIN – Sebuah kereta Perodua Axia berwarna biru disyaki milik kaki pancing yang ditinggalkan sejak lima hari lalu di kawasan Pantai Siring, Kampung Pulai di sini mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.
Ia apabila kenderaan bernombor pendaftaran CEV 9314 itu tular menerusi beberapa klip video dan audio sejak semalam yang turut membimbangkan penduduk sekiranya pemancing berkenaan lemas dan gagal dikesan sehingga kini.
Menurut rakaman itu, individu berkenaan memaklumkan kereta tersebut ditinggalkan dalam keadaan berkunci dengan cermin gelap manakala bahagian tempat duduk belakang kelihatan rendah seolah-olah terdapat barangan di dalamnya.
“Kereta ini dah lima hari di sini, ikut maklumat orang kata owner pergi memancing kat belakang. Kita risau takut jadi apa-apa sebab sampai sekarang tak balik-balik.
“Dalam kereta pun tak nampak apa-apa sebab cermin gelap. Tayar belakang pun sudah mula kempis,” katanya dalam rakaman tersebut.
Dalam satu audio lain, seorang lelaki turut memohon kerjasama orang ramai khususnya komuniti nelayan dan penduduk sekitar Kampung Pulai untuk menularkan maklumat berkenaan bagi mengesan pemilik kenderaan dan memastikan keselamatannya.
“Kalau kereta rosak tak apa, tapi ini kita takut dia pergi mancing belakang dan jatuh ke, jadi terpaksa buat laporan. Kalau pemilik selamat, alhamdulillah,” katanya.
Setakat ini, penduduk memaklumkan laporan susulan akan dibuat sekiranya tiada sebarang maklum balas diterima daripada pemilik kenderaan dalam masa terdekat.
Orang ramai yang mengenali pemilik kereta berkenaan diminta tampil atau menyalurkan maklumat bagi membantu mengesahkan keadaan sebenar serta meredakan kebimbangan masyarakat setempat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Lee Robert ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedang mengesan pemilik kenderaan berdasarkan video yang tular sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut. – MalaysiaGazette
















