ROMPIN – Tiga tokan dadah diberkas ketika sedang berkhayal dalam dua serbuan berasingan polis yang dilakukan di sebuah rumah di Felda Keratong 07 dan ladang kelapa sawit Felda Keratong 06 di Muadzam Shah, di sini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin kira-kira jam 5.50 pagi hingga 6.15 pagi tadi.
Tiga lelaki itu berusia lingkungan umur 40 tahun hingga 41 tahun dan tidak bekerja.
“Hasil tangkapan ini, pihak polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat anggaran 8.67 gram dan heroin seberat anggaran 18.56 gram dengan nilai berjumlah anggaran RM2,000.00,” katanya dalam kenyataan.
Sharif Shai berkata, kesemua suspek dipercayai menjadikan ladang kelapa sawit sebagai tempat untuk menjalankan urusan pengedaran dadah.
Katanya, kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau boleh dihukum maksimum 15 sebatan jika sabit kesalahan.
Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000.00 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kejayaan ini, katanya, hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah termasuk kesalahan berkaitan air ketum yang disenaraikan sebagai racun dan bahan psikotropik adalah salah di sisi undang-undang,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















