KUALA LUMPUR – Kerajaaan memberi jaminan untuk menangani beberapa isu secara keras seperti komisen atau ‘ekonomi gelap’ di mana tindakan tegas sudah diambil sejak dua tahun lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, buat pertama kalinya, terdapat langkah yang diumumkan membabitkan agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Ia membabitkan antaranya di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Beberapa kelompok kartel termasuk yang boleh disebut ‘ekonomi gelap’ sampai ke mana di Pelabuhan Klang yang menyebabkan penyeludupan yang tinggi itu terbiar selama puluhan tahun, ikut rekod tetapi sekarang sudah diambil.
“Tetapi kerana sistem rosak dan bobrok ini agak sistemik, ia mengambil masa. Jadi, saya beri perhatian serius tentang teguran Yang Berhormat dan akan beri jaminan supaya kita
dapat lapor ke Parlimen langkah-langkah yang diambil.
“Tetapi teguran tentang masalah kerenah birokrasi, soal black economy dan juga penyeludupan itu saya hargai,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mengenai langkah kerajaan dalam menangani masalah ekonomi hitam yang dikatakan semakin buruk di negara ini.
Menjawab soalan laporan Index of Economic Freedom 2025 oleh Heritage Foundation yang mengkategorikan Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang hanya moderately free (sederhana bebas), Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, yayasan itu dikenali sebagai badan neokonservatif dan berhaluan kanan.
“Cuma kalau Laporan Heritage Foundation itu, sepertimana kita tahu, Heritage Foundation itu adalah foundation yang neoconservative, far right pandangan.
“Walaupun boleh kita teliti, tak ada salahnya tetapi kita harus faham sikap dan dasar mereka itu sangat prasangka terhadap negara Islam, sangat prasangka terhadap negara-negara berkembang dan membangun,” katanya. – MalaysiaGazette
















