Gambar hiasan

IPOH – Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa Koperal Mohd Hafizan Othman, 33, tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati semasa kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha dalam perjalanan dari rumah menghala ke tempat bertugas di Balai Polis Kampung Rapat.

“Ketika kejadian, motosikal ditunggang mangsa sedang bergerak lurus di Jalan Sultan Azlan Shah, manakala sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki warga emas telah membelok ke kanan dari Jalan Lengkok Harimau di kawasan larangan, hingga menyebabkan perlanggaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast