KUANTAN – Dua individu dicekup bersama hampir 50 gram dadah pelbagai jenis menerusi serbuan polis ke sebuah rumah tamu di Lorong Seri Kuantan, di sini kira-kira jam 1.10 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kedua-dua suspek merupakan seorang lelaki dan wanita berusia 31 tahun dan 35 tahun itu dipercayai merupakan pengedar dadah kecil-kecilan.
“Kedua-dua suspek dipercayai menyewa sementara di rumah tamu itu.
“Bahagian Siasat Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berjaya merampas enam paket lutsinar mengandungi dadah jenis heroin anggaran berat 34.82 gram, sebuah beg kecil berzip mengandungi 53 pil yaba anggaran berat 6.58 gram dan dua paket lutsinar yang mengandungi dadah jenis syabu seberat anggaran 6.86 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jels Ashari, jumlah keseluruhan rampasan dadah terbabit dianggarkan RM3,174.00.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua suspek masing-masing mempunyai lapan rekod lampau berkaitan dadah.
“Ujian saringan awal ke atas suspek lelaki adalah positif morphine, manakala suspek wanita pula positif dadah jenis amphetamine/ methamphetamine,” tambahnya.
Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bagi dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette
















