Tunku Mahkota Ismail diiringi Onn Hafiz melawat SRBJ di SK Tasek Utara, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Empat buah sekolah sekitar daerah ini dipilih sebagai Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bermula bagi sesi persekolahan 2025/2026.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ini melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4 di Pasir Gudang.

“Dua lagi SMK Tasek Utara dan SK Tasek Utara di Johor Bahru.Pemilihan sekolah-sekolah ini dibuat berdasarkan kriteria yang jelas dan berfokus.

“Antaranya sekolah satu sesi bagi memaksimumkan tumpuan terhadap pembangunan murid, kepimpinan sekolah yang proaktif serta komited.

“Selain pendekatan feeder–acceptor antara sekolah rendah dan menengah bagi memastikan kesinambungan pembangunan pelajar dari peringkat awal hingga ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mencemar duli berangkat ke SK Tasek Utara.

Menerusi lawatan itu, baginda meninjau kemudahan dan fasiliti utama yang telah dinaik taraf termasuk kelas rintis, makmal sains, pusat sumber serta bilik eksplorasi.

Onn Hafiz berkata, SRBJ bukan sekadar sekolah contoh, sebaliknya menjadi penanda aras baharu pendidikan negeri.

Kerajaan negeri ujarnya, kekal komited untuk memastikan setiap pelajar berpeluang menikmati pendidikan yang holistik, berkualiti dan bertaraf dunia.

“Ini sekali gus membuktikan bahawa sekolah harian mampu mencapai kecemerlangan tertinggi apabila perancangan dilaksanakan secara konsisten, tersusun dan berfokus,” katanya.

Secara keseluruhan, projek SRBJ melibatkan peruntukan berjumlah RM54 juta dengan RM31.22 juta diperuntukkan bagi Fasa 1 dan RM22.78 juta bagi Fasa 2, merangkumi kerja-kerja naik taraf infrastruktur serta pelaksanaan modul pendidikan berimpak tinggi.

Penekanan utama pelaksanaan SRBJ merangkumi penguasaan Bahasa Inggeris tanpa meminggirkan Bahasa Melayu, pengukuhan kemahiran pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Ini termasuk pelaksanaan pentaksiran kompetensi murid yang setara dengan penilaian bertaraf antarabangsa dan selari dengan dasar Kementerian Pendidikan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast