KUALA LUMPUR – Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 dilihat sebagai langkah menyeluruh kerajaan dalam menetapkan hala tuju pendidikan negara bagi tempoh satu dekad akan datang melibatkan pembaharuan dasar dari peringkat awal kanak-kanak hingga ke pengajian tinggi.
Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, pelan itu menunjukkan pendekatan lebih terancang dalam menangani cabaran pendidikan semasa, termasuk keperluan pasaran kerja, perubahan teknologi serta pembangunan modal insan jangka panjang.
Menurutnya, penekanan terhadap pengukuhan kurikulum, penilaian bersepadu serta fokus kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) serta pembangunan bakat pelajar adalah langkah tepat bagi meningkatkan daya saing generasi muda.
Katanya, keputusan kerajaan menstruktur semula Tingkatan Enam dan Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi mulai 2027 dijangka memperkemas ekosistem prauniversiti, selain mengurangkan pertindihan dasar antara kementerian.
“Langkah ini penting untuk memastikan laluan pendidikan prauniversiti lebih jelas dan selari dengan keperluan institusi pengajian tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan pengecualian yuran pengajian kepada 3,000 pelajar orang kurang upaya (OKU) di institusi pengajian tinggi awam, politeknik dan kolej komuniti sebagai keputusan yang memberi kesan langsung kepada golongan memerlukan.
Jelasnya, langkah itu bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi membuka ruang pendidikan yang lebih inklusif dan saksama.
Sementara itu, Saifuddin berkata, ketegasan kerajaan mengekalkan Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai teras pendidikan di semua aliran sekolah, termasuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), perlu dilihat sebagai usaha menyeimbangkan keperluan kemahiran global dengan pembinaan identiti kebangsaan.
Beliau juga menyambut baik pelaksanaan Reformasi Sekolah Kebangsaan melalui pemilihan lima Sekolah Kebangsaan (SK) dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di setiap daerah sebagai sekolah inspirasi.
Ia dijangka menjadi pemangkin peningkatan kualiti pendidikan.
Menurut Saifuddin, peluasan pendidikan awal kanak-kanak melalui sesi prasekolah seawal usia lima tahun serta pendaftaran Darjah Satu secara sukarela bagi kanak-kanak enam tahun selari dengan keperluan perkembangan awal kanak-kanak.
“Malah keputusan mengembalikan elemen ujian dan penilaian di Darjah Empat dan Tingkatan Tiga menunjukkan kerajaan memberi penekanan kepada pengukuhan asas pembelajaran murid secara lebih berstruktur,” ujarnya lagi.
Dalam aspek kebajikan pendidik, Saifuddin berkata, peruntukan RM100 juta bagi menaik taraf bilik guru mencerminkan usaha meningkatkan persekitaran kerja warga pendidik sebagai faktor penting dalam kualiti pengajaran.
Ujarnya, RPN 2026–2035 hanya akan mencapai matlamat sekiranya dilaksanakan secara konsisten dengan pemantauan berterusan serta sokongan semua pihak berkepentingan. -MalaysiaGazette
















