MELAKA – Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki menyamar sebagai anggota polis dan mengugut remaja perempuan untuk memenuhi kehendak seksualnya sekitar Batu Berendam, di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan terhadap suspek berusia 25 tahun dibuat kira-kira jam 6.30 petang, Selasa lalu.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi pada 18 Januari lalu ketika mangsa berusia 17 tahun yang bekerja sebagai juruwang pasar raya dalam perjalanan pulang ke rumah melalui Jalan Datuk Seri Haji Mohd Zain, Cheng.

“Sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa dipercayai ditahan suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum meminta kad pengenalan mangsa.
“Suspek mengambil gambar kad tersebut dan memeriksa telefon bimbit mangsa sebelum membuka aplikasi TikToknya sendiri dan menekan butang ‘follow’.
“Suspek turut didakwa meminta mangsa memuaskan nafsunya sekiranya tidak mahu dikenakan saman namun mangsa bertindak meninggalkan lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian namun polis berjaya mengesan serta menahan suspek Isnin lalu selepas menerima laporan pengadu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan penularan kes berkenaan di media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan ramai.
Mesej tular mendakwa seorang lelaki menyamar sebagai anggota Skuad 42 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mensasarkan kaum wanita di sekitar Batu Berendam. – MalaysiaGazette
















