KUALA LUMPUR – Parlimen memperkenalkan satu garis panduan baharu penggunaan Pusat Media yang bertujuan untuk mengawal interaksi antara pihak media dan ahli-ahli Parlimen.
Melalui garis panduan itu, amalan doorstop interview atau temu bual tanpa kebenaran oleh petugas media tidak dibenarkan manakala kenyataan dikeluarkan hanya menyentuh isu berkepentingan awam dan urusan Parlimen sahaja.
Untuk rekod, doorstop interview salah satu cara wartawan menyoal ahli Parlimen mengenai isu semasa dan ia kebiasaannya dilakukan secara spontan.
Penggunaan Pusat Media Parlimen juga dikhaskan kepada ahli Parlimen sahaja dan tidak dibenarkan digunakan pihak luar dengan permohonan untuk itu perlu dikemukakan sekurang-kurangnya dua jam sebelum masa sebenar penggunaan.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan pelaksanaan garis panduan itu bukan bertujuan menyekat hak bersuara ahli Parlimen sebaliknya bagi mengelak penyalahgunaannya bagi tujuan politik.
Katanya, ahli Parlimen perlu melakukan pemakluman lebih awal sekiranya ingin menggunakan pusat media yang hanya boleh dibenarkan untuk mengulas mengenai urusan rakyat dan kerajaan.
Beliau turut menjelaskan garis panduan itu hanya terpakai dalam pusat media dan sebarang temubual di luar fasiliti berkenaan adalah hak ahli Parlimen. – MalaysiaGazette
















