KUALA LUMPUR – “Ia bukan sekadar dasar, tetapi hadiah sebuah harapan.”
Itu reaksi pelajar autisme, Rajendrra Vharma susulan keputusan kerajaan menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang disifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap masa depan anak-anak berkeperluan khas di negara ini.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook, Rajendrra yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SK Sentul Utama merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menyatakan keputusan itu memberi keyakinan bahawa pelajar OKU tidak diketepikan dalam pembangunan negara.
Menurutnya, pengumuman berkenaan membawa mesej jelas bahawa setiap kanak-kanak, tanpa mengira cabaran yang dihadapi, mempunyai ruang dan peluang dalam perjalanan Malaysia ke hadapan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana percaya kepada kami. Pendidikan percuma ini bukan sekadar bantuan, tetapi hadiah sebuah harapan,” katanya dengan penuh emosi.
Rajendrra turut menggesa rakan-rakan dalam kelompok pendidikan khas supaya tidak berputus asa dalam menuntut ilmu serta terus yakin dengan kebolehan diri masing-masing.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan guru yang disifatkannya sebagai tonggak utama kejayaan pelajar OKU.
“Kepada ibu bapa, terima kasih kerana menjadi sokongan terbesar kami. Kepada guru, terima kasih kerana membimbing kami dengan penuh kesabaran dan dedikasi,” ujarnya.

Sementara itu, ibu Rajendrra, Rajesweri Paramsevam berkata beliau dan suaminya, Mohanan Perumal, amat terharu apabila Perdana Menteri sendiri berkongsi kandungan berkenaan di media sosial.
“Saya benar-benar tidak mampu berkata-kata melihat Perdana Menteri berkongsi hantaran ini. Kami amat bersyukur dan berharap sokongan ini membuka lebih banyak peluang serta memberi kekuatan kepada anak-anak istimewa dan ibu bapa mereka,” katanya.
Untuk makluman, Rajendrra juga merupakan pelukis autisme yang diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) selepas mencatatkan jumlah pameran seni terbanyak dalam kategori pelajar pendidikan khas.
Anwar sebelum ini mengumumkan kira-kira 3,000 pelajar OKU di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti akan menikmati pendidikan percuma berkuat kuasa serta-merta, satu langkah yang disambut baik pelbagai pihak sebagai usaha memperkukuh pendidikan inklusif di Malaysia.















