Logo KPT
Kementerian Pendidikan Tinggi.

KUALA LUMPUR – Permohonan kemasukan pelajar sesi akademik 2026/2027 ke program sijil; asasi; diploma dan ijazah sarjana muda melalui UPUOnline® akan dibuka pada 29 Januari hingga 23 Mac depan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia bagi fasa permohonan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan fasa pertama lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf.

Katanya, bagi bagi permohonan fasa kedua Lepasan STPM dan setaraf pula, permohonan melalui UPUOnline® itu akan dibuka pada 13 April ini hingga 23 Mac depan.

Menurutnya, permohonan itu melibatkan pengambilan ke sebanyak 20 universiti awam (UA); 36 politeknik; 106 kolej komuniti (KK) dan dua institusi dari MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).

“Permohonan terbuka kepada pelajar Lepasan SPM dan STPM/Setaraf bagi semua program pengajian pada Fasa Permohonan Lepasan SPM dan Fasa Pertama Lepasan STPM/ Setaraf, manakala hanya program pengajian yang tidak bertemu duga dan/atau ujian sahaja dibuka pada permohonan Fasa Kedua Lepasan STPM/ Setaraf,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pembelian nombor pin UPUOnline® boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 28 Januari ini sebelum mengemukakan permohonan dengan harga RM 10.60 (termasuk cas perkhidmatan).

Katanya, kaedah bayaran nombor pin UPUOnline® di BSN adalah melalui 387 Kaunter Cawangan BSN; 843 Automatic Teller Machine (ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN.

Jelasnya, BSN akan mengeluarkan nombor pin UPUOnline® beserta salinan resit pembayaran.

“Sila pastikan slip pembayaran sebagai bukti sah pembelian disimpan untuk rujukan,” katanya.

Sehubungan itu, KPT mempelawa semua calon yang berkelayakan mengambil peluang tersebut bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

Jelasnya, terdapat sebanyak 363 program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,146 program pengajian ditawarkan kepada lepasan STPM/Setaraf oleh UA; politeknik; KK dan MARA BPT di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast