KUALA LUMPUR – Pemburuan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik akan diteruskan menerusi Program Road to Gold (RTG) sebagai inisiatif strategik negara ke arah bersaing di sukan berprestij di dunia itu.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, RTG menumpukan
kepada atlet elit yang berada pada tahap ranking terbaik dunia dengan sokongan menyeluruh meliputi latihan, pertandingan, sains sukan, perubatan sukan dan kebajikan.
“Bagi memastikan persiapan awal dapat dilaksanakan secara berfasa, kerajaan telah
memperuntukkan RM12 juta bagi RTG pada tahun 2026.
“Selain aspek prestasi fizikal, KBS turut menekankan kesejahteraan mental atlet melalui program pemerkasaan mental, motivasi dan kenegaraan dengan kerjasama strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Ia bagi membina ketahanan mental, disiplin, jati diri dan semangat patriotisme sebagai pelengkap kepada agenda sukan berprestasi tinggi negara,” katanya pada sesi Pemberitahuan Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang meminta kementerian menyatakan dengan pencapaian negara dalam Sukan SEA 2025 selepas berjaya mencapai sasaran 200 pingatd an apakah rancangan kerajaan untuk memastikan prestasi tersebut berterusan dan meningkat pada acara yang lebih besar khususnya dalam memburu pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2028.
Mengulas lanjut, Mohammed Taufiq berkata, pencapaian Sukan SEA 2025 memungut 231 pingat, melebihi sasaran 200 pingat merupakan prestasi terbaik negara bagi penganjuran temasya di luar negara sejak Sukan SEA 2007 di Korat, Thailan iaitu 216 pingat.
Katanya, bagi memastikan prestasi ini berterusan dan meningkat, kementerian melalui Majlis Sukan Negara telah memulakan persiapan ke arah Temasya Sukan
SEA 2027 bermula tahun ini.
Menurut beliau, ia termasuk sesi libat urus bersama semua Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) pada 6 Januari 2026 bagi menyelaras hala tuju latihan dan program prestasi tinggi di mana persiapan atlet dirangka dalam tiga fasa. – MalaysiaGazette
















