Dr Anuar Ahmad

KUALA LUMPUR – Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad berpandangan ujian diagnostik atau saringan untuk menentukan kelayakan seorang kanak-kanak berumur enam tahun masuk ke sekolah adalah satu pelanggaran prinsip asas pendidikan awam.

Menurut beliau, ujian diagnostik hanya digunakan bertujuan mengenal pasti keperluan murid, bukan mendiskriminasikan murid.

Malah, katanya, istilah ujian dianogstik adalah tidak tepat sebaliknya lebih dilihat sebagai ujian kelayakan yang bersifat pemilihan melalui amalan isihan (discriminate).

“Mana mungkin anak-anak yang baru berumur lima tahun diberikan ujian kelayakan untuk menentukan mereka boleh masuk tahun satu atau tidak?

“Layak masuk atas asas apa? 3M (membaca, menulis, mengira)? Anak-anak ini belum masuk pendidikan formal lagi. Mengapa diukur kemahiran 3M mereka?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Selain itu, tambah Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM berkata, keupayaan kognitif kanak-kanak pada usia terlalu awal sangat dipengaruhi oleh status sosio ekonomi keluarga.

Jelasnya, ia turut dipengaruhi latar belakang pendidikan ibu bapa dan sokongan kemudahan di rumah seperti gajet, internet dan buku.

“Tentulah ujian kelayakan seperti ini akan memberi banyak kelebihan pada kanak-kanak dari latar SES (pengaruh latar belakang keluarga) yang tinggi.

“Apa jadi kepada anak-anak dari keluarga yang sangat miskin?” katanya.

Disebabkan itu, tambah Anuar, adalah jelas tindakan melaksanakan ujian diagnostik atau pengesanan (sebenarnya ujian kelayakan) adalah tidak adil pada kanak -kanak seusia lima tahun.

Tegasnya, pendidikan awam wajib bersifat inklusif dan tidak boleh sama sekali bersifat eksklusif.

Tambah beliau, menafikan hak kanak-kanak umur enam tahun memasuki sekolah di saat sebahagian kanak-kanak yang lain dibenarkan adalah bercanggah dengan prinsip keadilan pendidikan, sifat kemanusiaan dan aspirasi falsafah pendidikan negara.

“Ini adalah satu pelanggaran yang serius kepada prinsip keadilan akses pendidikan dan usaha untuk merapatkan jurang pendidikan.

“Malah jelas satu penafian kepada hak asasi pendidikan asas untuk semua kanak-kanak,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast