PERKEMBANGAN semasa menyaksikan terdapat suatu keghairahan masyarakat kepada menonton rancangan hiburan berbentuk realiti. Pihak penyiar dan penerbit rancangan realiti sangat bijak mengambil untung kerana melibatkan emosi penonton dalam rancangan yang disiarkan.
Apabila emosi penonton diheret ke dalam rancangan berkenaan, secara tidak langsung wujud perasaan fanatik untuk menontonnya setiap siri atau minggu. Seterusnya akan menaikkan ‘rating’ penonton yang boleh dijual kepada penaja. Akhirnya siapa yang untung? Penyiar, penaja, peserta rancangan realiti tetapi penonton sebenarnya rugi masa kerana menonton pada perkara yang tiada faedah.
Terjemahan maksud firman Allah dalam Surah Asr,
“Demi masa! (1). Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (2). Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar (3)“.
Al-Quran banyak menyatakan manusia dalam kerugian (masa) kecuali orang beriman dan beramal soleh, dan dalam konteks ini, adakah membazir masa dengan menonton hiburan tidak berfaedah itu sebagai amalan soleh atau sebaliknya?
Tanyalah iman masing-masing sekiranya anda (orang-orang beriman). Berkaitan dengan itu juga, terjemahan maksud Surah Al-Israa’, ayat 27,
“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu (membazir) adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya (27)“.
Dalam Surah Al-Israa’ (27), Allah menegaskan lagi membazir itu adalah saudara syaitan yang mana syaitan itu sangat kufur, oleh itu, bolehkan dikatakan perbuatan membazir (dan dalam konteks ini membazir masa menonton hiburan tidak berfaedah) mendekatkan diri kepada kekufuran? Nauzubillah min zalik.
Tinjauan mendapati rancangan realiti kini melibatkan pelbagai peringkat umur dari kanak-kanak, remaja, dewasa dan peringkat usia emas. Hal ini mungkin penyiar ingin mendapat sebanyak mungkin penonton dari pelbagai peringkat umur yang boleh digunakan sebagai strategi mendapatkan sebanyak mungkin penaja dan pembeli siaran iklan yang sememangnya mendatangkan keuntungan.
Apabila rancangan realiti disasarkan kepada pelbagai peringkat umur, secara tidak langsung pelbagai peringkat umur berjaya dipengaruhi untuk mengikutinya. Suatu situasi yang mungkin berlaku di sini ialah ibu bapa yang menonton rancangan realiti membiarkan anak-anak menonton sekali dengan alasan untuk berehat selepas penat belajar.
Tinjauan secara rambang kepada sebahagian rancangan hiburan berbentuk realiti menggunakan bahasa tidak sopan, pertuturan tidak beradab seperti menjerit-jerit, dan membuat lawak bodoh secara tidak langsung mempengaruhi emosi penonton apatah kanak-kanak yang masih kosong jiwa dan fikirannya.
Suatu perkara yang kelihatan ‘lawak’ di sini tetapi mungkin berlaku akibat ketagihan kepada hiburan ialah ibu bapa berebut dengan anak-anak untuk menonton rancangan hiburan kegemaran masing-masing.
Kedengaran lawak tetapi mungkin berlaku kesan ketagihan kepada hiburan pada pelbagai peringkat umur. Apakah ini contoh tauladan yang baik, iaitu anak-anak disuruh belajar tetapi ibu bapa leka menonton hiburan di kaca televisyen, atau sibuk dengan gajet? Sedangkan ibu bapa adalah contoh terbaik anak-anak atau bagaimana?
Perlu diingatkan bahawa fikiran dan jiwa anak-anak pada asalnya adalah kosong berkemungkinan besar terpengaruh dengan apa yang ditonton seperti aksi menari, ‘terkinja-kinja’, dan menjerit-jerit.
Pada fikiran kanak-kanak itu adalah sebahagian yang perlu diamalkan bahkan mungkin mempengaruhi cita-cita dan masa depan. Persoalannya, adakah tercapai hasrat ibu bapa untuk melahirkan anak soleh dan solehah sekiranya setiap hari anak-anak dibiarkan menonton perkara yang terarah negatif?
Kesan Hiburan Kepada Akhlak dan Perilaku
Manusia berkecenderungan berfikir, bertindak, dan melakukan sesuatu berdasarkan apa yang diketahui (pengetahuan), apa yang dilalui (pengalaman), pegangan (agama) dan apa yang diterima oleh pancaindera (situasi persekitaran). Begitu juga dengan akhlak dan perilaku yang sangat dipengaruhi oleh pengetahuan, pengalaman dan pengaruh persekitaran.
Hiburan boleh dikategorikan kepada positif dan negatif, tetapi sebahagian besar hiburan berkecenderungan negatif serta tidak mendatangkan manfaat positif. Perkembangan teknologi menyaksikan kualiti visual dan audio hiburan bertambah baik bahkan mencapai tahap hampir dunia sebenar (realiti) seperti visual berdefinisi tinggi (high definition visual).
Sekiranya hiburan berbentuk negatif meresap ke dalam fikiran dan hati individu menerusi pancaindera visual dan audio secara berulang setiap hari, tidak mustahil lama-kelamaan akan mempengaruhi pengetahuan, pengalaman, dan persekitaran yang akhirnya turut mempengaruhi akhlak dan tingkah laku individu.
Apatah media hiburan yang dikuasai Barat akan menunjukkan bahawa perlakuan negatif bercirikan Barat adalah suatu ‘kebenaran’ dan realiti kemajuan masyarakat moden yang perlu diikuti.
Secara tidak langsung perkara negatif berkenaan seperti nyanyian melalaikan, tutur bahasa tidak sopan, pergaulan bebas bukan muhrim, perlakuan ganas, bahkan perbuatan biadap lama-kelamaan akan mempengaruhi individu apatah mereka yang lemah pegangan agama.
Kajian mendapati antara faktor mempengaruhi keruntuhan akhlak remaja masa kini adalah kesan hiburan disampaikan media massa. Ini kerana remaja amat mudah terpengaruh dan dipengaruhi oleh media yang diperlihatkan setiap masa.
Hiburan Melalaikan dan Membuang Masa
Perbincangan secara ringkas menunjukan hiburan sama ada menerusi televisyen atau rangkaian Internet lebih banyak membawa kesan negatif berbanding positif apatah kepada kanak-kanak. Selain mempengaruhi emosi, perasaan, dan mengisi fikiran kanak-kanak, hiburan juga membawa kepada kelekaan yang membazir masa. Hakikatnya, lebih banyak kesan negatif berbanding positif.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, penulis ingin melontarkan persoalan, apakah faedah positif hasil ketaksuban kepada hiburan? Terserah kepada pembaca untuk menilai kerana masing-masing dianugerahkan kewarasan akal fikiran dan tahap keimanan untuk menimbangkan baik buruk suatu perkara.
Penulis secara peribadi merasakan tiada masalah untuk berhibur, tetapi jangan sehingga melekakan, membuang masa sehingga mengabaikan tanggungjawab dan paling penting tidak merosakkan matlamat membentuk generasi soleh dan solehah.
Ahmad Muhaimin Mohamad, Ph.D
Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah [email protected]
-MalaysiaGazette
















