SHAH ALAM – Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan bagi kes pengubahan wang haram terima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM145,000.
Muhammad Hafizuddeain, 58, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Berdasarkan pertuduhan, bekas PTD itu didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram secara berasingan RM115,000 dan RM30,000 antara 19 September 2024 dan 19 Mei tahun lalu dan dimasukkan ke akaun bank miliknya.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memohon supaya mahkamah mengguna pakai ikat jamin bagi empat pertuduhan yang dihadapi Muhammad Hafizuddeain di Mahkamah Sesyen, KL semalam iaitu sebanyak RM250,000.
Selain itu, beliau turut memohon supaya dua pertuduhan berkenaan dipindah ke Mahkamah Sesyen KL.
Hakim, kemudian membenarkan permohonan berkenaan.
Tarikh pengurusan kes ditetapkan pada 30 Mac 2026 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Sebagai rekod, semalam Muhammad Hafizuddeain yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.12 juta.
Terdahulu, SPRM pada Rabu lalu menerusi kenyataan memaklumkan Muhammad Hafizuddeain dan isterinya Salwani Anuar @ Kamaruddin, masing-masing akan didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur.
Pendakwaan dibuat susulan Ops Parasit oleh SPRM yang berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat dan keesokan harinya pegawai itu direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman selama tiga dan enam hari.
Terdahulu, tertuduh tiba ke Kompleks Mahkamah Shah Alam pada 8.20 pagi tadi bersama peguamnya Aizul Rohan Anuar.
Sementara itu, Aizul ketika sidang media berkata sehingga kini anak guamnya berdepan dengan enam pertuduhan secara keseluruhan.
“Setakat yang rasmi, keseluruhannya ada enam pertuduhan (termasuk empat semalam),” katanya. -MalaysiaGazette
















