KUALA LUMPUR – Malaysia komited untuk terus melindungi serta memartabatkan hak kanak-kanak selari dengan piawaian antarabangsa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelbagai inisiatif berkaitan kesejahteraan kanak-kanak telah dilaksanakan kerajaan menerusi kementeriannya.
Ini termasuk penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak, pelaksanaan reformasi undang-undang berkaitan perlindungan kanak-kanak serta penambahbaikan dasar dan program sokongan bagi memastikan kepentingan terbaik golongan itu terus terpelihara.
“Malaysia sedar bahawa pelaksanaan penuh terhadap hak kanak-kanak tidak hanya bergantung kepada undang-undang dan dasar kerajaan semata-mata.
“Sebaliknya ia juga memerlukan kaedah pelaksanaan yang berkesan, koordinasi yang mencukupi serta komitmen bersama oleh masyarakat sivil.
“Dalam pada itu, Malaysia turut meluaskan kerjasama dengan UNICEF serta agensi-agensi lain di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), masyarakat, institusi hak asasi manusia kebangsaan di samping meningkatkan kebergantungan kepada data dan penyelidikan.
“Kesemua langkah tersebut adalah untuk mengukuhkan akauntabiliti, pemahaman dan penyampaian perkhidmatan kerajaan terhadap perlindungan kanak-kanak,” katanya semasa berucap di Jawatankuasa Konvenseyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang berlangsung di Ibu Pejabat PBB di Geneva, Switzerland.
Dalam sesi berkenaan, Jawatankuasa CRC turut mengambil peluang memuji usaha berterusan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia berkaitan kebajikan dan perlindungan kanak-kanak.
Ia turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan.

CRC yang berlangsung 22 dan 23 Januari 2026 itu, merupakan salah satu instrumen hak asasi manusia utama di bawah PBB yang merangkumi 54 artikel merentas pelbagai isu berkaitan kanak-kanak.
Sebagai negara pihak, Malaysia bertanggungjawab melaporkan perkembangan dan situasi hak asasi manusia berkaitan kanak-kanak secara berkala kepada Jawatankuasa CRC.
Penyertaan Malaysia ke sesi dialog kali ini merupakan satu pencapaian bersejarah, memandangkan kali terakhir negara menyertainya adalah pada tahun 2007.
Ia juga merupakan penyertaan pertama yang diketuai oleh seorang Menteri, sekali gus mencerminkan keseriusan Kerajaan dalam memperkukuh agenda hak kanak-kanak di peringkat global.
Delegasi Malaysia turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff dan beberapa wakil kementerian lain. -MalaysiaGazette
VIDEO
















