KUALA LUMPUR – DAP cawangan Wangsa Permai Kepong yang mempunyai keahlian Melayu paling ramai menyatakan kesiapsiagaan untuk menggempur UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketuanya, Muhammad Najmi Samsudin berkata, bukan sahaja di Selangor malah cawangan berkenaan juga bersedia mengerahkan ahlinya untuk bergerak ke seluruh negara bagi tujuan itu.
“Bukan kita hendak perang dengan UMNO cuma Melayu DAP bersedia untuk menjelaskan kepada rakyat terutama pengundi muda tentang realiti sebenar DAP bukan musuh UMNO dan DAP pernah berkorban untuk UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga bekas Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata, setakat ini pihaknya hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum memulakan gerak kerja tersebut.
Muhammad Najmi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anthony Loke semasa Konvensyen DAP Selangor baru-baru ini yang menegaskan pendirian parti itu untuk tidak gentar berdepan cabaran politik.
Kenyataan tersebut dibuat sebagai reaksi terhadap tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang meletakkan jawatan sebagai Exco Melaka, namun mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO kerana mahu menentang DAP secara terbuka.
Mengulas lanjut, Muhammad Najmi menegaskan, pihaknya akan kekal istiqamah mempertahankan prinsip Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa yang memerlukan kerjasama semua pihak demi memupuk perpaduan dan keharmonian.
“Secara jelas, rancangan Pemuda UMNO untuk menggunakan DAP sebagai ‘punching bag’ sangat tidak praktikal dan baik kerana DAP pernah berkorban memberikan DUN Dusun Tua kepada UMNO demi atas semangat kerjasama dalam kerajaan Madani,” katanya. — MalaysiaGazette
















