KUALA LUMPUR – Kerajaan kekal komited memperkukuhkan Angkatan Sukarela sebagai komponen sokongan strategik pertahanan negara melalui penyediaan sokongan menyeluruh merangkumi aspek kebajikan, latihan, perlindungan dan pengiktirafan perkhidmatan.
Sehubungan itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerusi kenyataan berkata pendekatan promosi Angkatan Sukarela akan diperkasakan melalui kerjasama strategik dengan kerajaan negeri, majikan, institusi pendidikan dan komuniti setempat.
Jelasnya, ia bagi meningkatkan kesedaran dan penyertaan rakyat, khususnya dalam kalangan golongan muda dan tenaga profesional.
“Keupayaan mempertahankan kedaulatan negara menuntut pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu.
“Justeru, pengukuhan pertahanan negara perlu digerakkan melalui komitmen bersama seluruh jentera Kerajaan, Kerajaan Negeri, sektor swasta dan masyarakat, selaras dengan prinsip Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang menekankan tanggungjawab kolektif demi keselamatan dan kepentingan strategik negara,” katanya.
Terdahulu MINDEF memaklumkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali telah mempengerusikan Sidang Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Pendukung (SPJP) Angkatan Sukarela Siri Ke-19 di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini.
Menurutnya, persidangan tersebut menghimpunkan seramai 23 orang ahli yang terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendukung negeri-negeri atau wakil masing-masing antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri serta wakil kepimpinan tertinggi ATM merangkumi Ketua Staf Markas dan Timbalan Panglima daripada ketiga-tiga perkhidmatan Darat, Laut dan Udara.
Katanya, keanggotaan persidangan berkenaan memperlihatkan komitmen menyeluruh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan ATM dalam memperkasakan Angkatan Sukarela secara bersepadu, tersusun dan berkesan.
“Persidangan ini merupakan langkah strategik yang signifikan susulan penganjuran terakhir pada tahun 2015, bertujuan memperbaharui dan memperkukuh mekanisme penyelarasan nasional Angkatan Sukarela ATM,” tambahnya.
Tambah kementerian itu, sidang SPJP menjadi platform penting untuk menyelaras inisiatif bersama, meneroka insentif bersesuaian serta mengoptimumkan perkongsian sumber antara kerajaan persekutuan dan negeri.
Katanya lagi, ia demi memastikan pembangunan dan kelestarian Angkatan Sukarela yang mampan dan responsif terhadap keperluan pertahanan semasa, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan serta keupayaan respons negara dalam mendepani cabaran keselamatan semasa dan masa hadapan.
“Mekanisme penyelarasan ini amat penting bagi memastikan peranan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dapat diselaraskan secara berkesan khususnya dalam aspek tadbir urus, kebajikan, pembangunan kapasiti serta kesiapsiagaan sumber, agar Angkatan Sukarela terus berfungsi sebagai komponen sokongan pertahanan yang mampan dan berdaya tahan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette















