Isteri bekas Panglima Tentera Darat, Salwani Anuar @ Kamarudin tiba di Mahkamah Sesyen KL bagi sebutan kes berkaitan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 JANUARI 2026 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Salwani Anuar akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu esok atas pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Peguam, Fahmi Abdul Moin yang mewakilinya mengesahkan kepada MalaysiaGazette hari ini bahawa Salwani akan didakwa di Kuala Terengganu, bukan di Jerteh seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Khamis lalu, isteri Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, 58, itu meminta dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM77,000.

Wanita berusia 27 tahun itu mencuri perhatian umum ketika hadir berkerusi roda di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan dikejar oleh lensa kamera ketika menuju ke Mahkamah Sesyen Jenayah 8.

Menurut pertuduhan, Salwani selaku Pengawal Syarikat Wany Venture didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM77,000 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik syarikat itu.

Hari yang sama, Muhammad Hafizuddeain didakwa di mahkamah berasingan melibatkan empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.12 juta.

Bekas PTD tersebut turut menghadapi dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, semua pertuduhan melibatkan Muhammad Hafizuddeain dan isterinya akan dipindahkan ke ibu negara untuk dibicarakan bersama.

Ujarnya, keputusan memindahkan semua prosiding ke Kuala Lumpur dibuat bagi menjimatkan masa, kos serta demi kepentingan keadilan.

Sementara itu, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar didakwa di ibu negara atas tuduhan menggunakan kedudukan bagi suapan dan menerima wang berjumlah RM752,482 serta pecah amanah membabitkan dana RM3 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast