MELAKA – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan peletakan jawatan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai Exco Melaka menjadi bukti UMNO sekarang sanggup mengorbankan pemimpin sendiri demi mempertahankan kerjasamanya dengan DAP.
Bekas pemimpin UMNO itu mendakwa, kegagalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan Ketua Pemudanya itu menunjukkan keutamaan parti itu bukan lagi perjuangan agama dan bangsa.
“Yang saya tengok dengan mata kepala saya sendiri, kepimpinan UMNO kini telah menyimpang jauh. Dalam ceramah, mereka bersyarah tentang agama, bangsa dan negara sampai perkara itu jadi macam satu wirid biasa.
“Tetapi dalam tindakan, mereka tak fikir pun masalah agama, tak fikir masalah bangsa. Yang difikirkan hanya soal kuasa. Sanggup angkat DAP jadi kerajaan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat berkata demikian ketika berucap pada program Ijtimak Jentera Pilihan Raya PAS Melaka Menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka Ke-15 di Bukit Katil, di sini, hari ini.

Pada 15 Januari lalu, Dr Akmal yang juga Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau merangkap Ketua UMNO Bahagian Jasin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka pada minggu ini.
Keputusannya itu demi kepentingan parti disebabkan suara akar umbi yang menuntut UMNO tidak lagi bersama-sama dengan DAP.
Mengulas lanjut, Annuar yang merupakan bekas Setiausaha Agung UMNO berkata, hakikatnya, DAP tidak mempunyai keupayaan untuk membentuk kerajaan sendiri dan hanya mampu berada dalam kerajaan kerana diangkat oleh UMNO.
“DAP itu sampai kiamat tak boleh buat kerajaan di Malaysia. Di peringkat nasional, 40 kerusi itu sajalah, sampai bila-bila tak jadi kerajaan.
“Di Melaka pun sama, DAP tak boleh jadi kerajaan. Tetapi sekarang DAP jadi kerajaan, sebab apa? Sebab UMNO yang mengangkat.
“Duk keriaulah (bising)lah si Akmal. Akmal letak jawatan, ada jatuh DAP? Tak ada. Yang jatuh Akmal. Akmal yang hilang jawatan.
“Ada presidennya (Ahmad Zahid) nak turunkan DAP? Tak ada. DAP masih duduk situ. Rauf (Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) masih terima DAP sebagai kerajaan,” katanya.
Veteran UMNO itu turut menyifatkan Dr Akmal sebagai pemimpin muda yang mempunyai idealisme tinggi, namun diketepikan apabila pendiriannya bercanggah dengan kepentingan politik parti.
“Akmal ini orang muda yang ada asas, ada idealisme yang tinggi, tapi dalam UMNO tak usah nak berteori soal bangsa dan agama sebab perhitungannya kuasa dan kedudukan dulu.
“Tak pernah berlaku dalam sejarah UMNO, suara Pemuda apa lagi kalau buat konvensyen, buat usul, bawa dalam PAU (Perhimpinan Agung UMNO)
“Ini kali pertama Ketua Pemuda letak jawatan (Exco) buat konvensyen, panggil ahli akar umbi, buat resolusi nak lawan DAP (tapi) Presiden dia kata apa?, Akmal anak nakal, dianggap budak je Akmal itu,” katanya sinis. – MalaysiaGazette
















