KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa kawasan di Perak, Sarawak dan Sabah sehingga 10 pagi hari ini.

MetMalaysia memaklumkan, kawasan terlibat di Perak adalah Kerian serta Larut, Matang dan Selama yang berpotensi mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh berkenaan.

Di Sarawak, antara kawasan yang dijangka terjejas termasuk Kuching, Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Sibu (Selangau), Mukah (Mukah) serta Bintulu (Tatau).

Sementara itu di Sabah, amaran cuaca buruk melibatkan Sandakan meliputi Kinabatangan, Beluran dan Sandakan, selain Kudat yang membabitkan kawasan Pitas dan Kudat.

MetMalaysia menjelaskan amaran berkenaan dikeluarkan berdasarkan pemantauan cuaca semasa yang menunjukkan potensi hujan lebat berintensiti tinggi.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” menurut kenyataan itu.

Menurut MetMalaysia lagi, amaran ribut petir yang dikeluarkan adalah bersifat jangka pendek dan hanya sah untuk tempoh tertentu.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.

Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan supaya berwaspada, mengelakkan aktiviti luar yang berisiko serta sentiasa memantau maklumat cuaca terkini daripada saluran rasmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast