Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengingatkan orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran atau maklumat berkaitan pemberian lesen memandu secara percuma tanpa ujian yang sah.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan dan menegaskan, iklan terbabit adalah maklumat palsu serta mengelirukan selain mempunyai unsur penipuan untuk memperdaya orang ramai.

“Hasil siasatan awal mendapati iklan itu menggunakan gambar Pengarah JPJ Selangor tanpa kebenaran sehingga menimbulkan kekeliruan kepada orang awam serta menjejaskan kredibiliti jabatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang awam dinasihatkan supaya sentiasa membuat semakan melalui saluran rasmi JPJ bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

JPJ Selangor mengeluarkan kenyataan itu ekoran laporan media berhubung iklan penjualan lesen memandu secara dalam talian tanpa perlu menjalani ujian dikesan semakin berleluasa di tiga platform media sosial popular dengan pelbagai modus operandi digunakan untuk meyakinkan sasaran.

Sindiket terbabit menawarkan pelbagai jenis lesen pada harga murah, kononnya boleh disiapkan dalam tempoh singkat tanpa perlu hadir ujian memandu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast