Oleh: Mohd Zaini Othman
BULAN lalu di Dewan Rakyat, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan beliau tidak akan sekali-kali berkompromi dengan mana-mana permintaan untuk melonggarkan penguatkuasaan ke atas lori yang membawa muatan berlebihan. Anthony berkata, ketegasan itu tetap dipegang walaupun ia menyebabkan dirinya berkhidmat sebagai ‘one-term minister’, kerana keselamatan rakyat mengatasi semua tekanan pihak berkepentingan. “Sekali kita berlembut, masalah ini tak akan selesai. Tak ada ‘landing’, tak ada penghujung,” ujarnya.
‘Perseteruan’ bermusim antara pemandu kenderaan berat seperti lori dan bas dengan Menteri Pengangkutan dan agensi penguatkuasaan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bukan cerita baru tetapi sudah lama berlaku. Di mata rakyat dan pengguna jalan raya yang terkesan, mereka mahukan kerajaan bertegas terhadap pemandu kenderaan berat dan majikan kerana kes kemalangan tragik yang kerap berulang membakar amarah dan kesabaran.
Setiap permasalahan pasti ada punca utama yang mendasarinya sehingga membawa kepada rantaian kesan yang panjang dan mustahil selesai dalam sekelip mata. Mendengar deruman enjin lori yang memecut di jalan raya dan kelincahan motosikal penghantar makanan menyelinap di celah kesesakan, disebaliknya tersirat satu tekanan ekonomi yang meruncing iaitu budaya “kejar trip” dan sistem komisen menjadi punca utama yang menggugat keselamatan jalan raya di Malaysia.
Seperti kita semua, seorang pemandu lori, bas mahupun penghantar makanan semuanya bekerja kerana inginkan pendapatan kerana ada tanggungan dan keperluan hidup yang perlu dipenuhi. Namun, sebagai masyarakat yang berpegang kepada nilai agama, kita harus sedar bahawa mencari rezeki tidak seharusnya mengabaikan prinsip menjaga nyawa yang merupakan amanah daripada Tuhan.
Melihat kepada realiti, bagi kebanyakan pemandu kenderaan berat, pendapatan mereka tidak bergantung kepada gaji pokok, sebaliknya terikat kepada jumlah perjalanan (trip) yang disiapkan. Tahun berganti tahun, tekanan kos sara sentiasa meningkat dan menekan kehidupan rakyat berpendapatan rendah, situasi inilah yang memaksa pemandu mengabaikan had laju dan waktu rehat demi mengejar komisen.
Keadaan ini sangat membimbangkan kerana ia melanggar prinsip asas dalam Islam yang melarang manusia daripada sengaja menjerumuskan diri ke dalam bahaya. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud “Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”
Ayat ini merupakan peringatan jelas bahawa mengejar keuntungan material (trip) dengan cara memandu secara berbahaya sehingga mengancam nyawa sendiri dan orang lain adalah satu tindakan yang membawa kepada kebinasaan.
Tidak hanya kepada pemandu kenderaan berat yang mengejar trip, situasi yang sama turut berlaku dalam sektor p-hailing. Penghantar makanan sering berhadapan dengan algoritma yang menetapkan masa ketibaan (ETA) yang sangat ketat. Demi mengejar bonus harian, ramai yang sanggup melanggar lampu isyarat merah dan memandu melawan arus mahupun secara gopoh gapah dan melulu.
Tindakan ini bukan sahaja membahayakan diri, malah menceroboh hak pengguna jalan raya yang lain. Di sini, aspek amanah dalam bekerja perlu ditekankan. Kerja bukan sekadar menghantar makanan tepat pada waktunya, tetapi juga memastikan proses penghantaran itu dilakukan dengan cara yang tidak memudaratkan orang lain. Ini kerana memasuki penghujung tahun 2025, data menunjukkan kemalangan melibatkan kenderaan berat dan penghantar makanan dan barangan yang menggunakan motorsikal khususnya masih tinggi .
Walaupun kerajaan telah mewajibkan pemasangan Peranti Had Laju (SLD) bermula Oktober 2025, keberkesanannya tetap berbalik kepada integriti pemandu. Islam sangat menekankan sifat amanah dalam setiap pekerjaan, seperti mana firman Allah dalam Surah Al-Anfal, ayat 27 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
Pemandu lori dan penghantar makanan memikul amanah untuk membawa kenderaan dengan selamat. Apabila mereka sengaja memandu laju atau mengabaikan peraturan jalan raya demi komisen, mereka sebenarnya sedang mengkhianati amanah terhadap keselamatan awam. Memandang jauh ke hadapan, langkah strategik dan drastik bagi memutuskan rantaian maut ini boleh diambil antaranya semakan struktur gaji. Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia perlu mengkaji skim gaji minimum yang lebih adil supaya pemandu tidak terlalu bergantung kepada jumlah trip.
Seterusnya penguatkuasaan digital iaitu penggunaan teknologi telematik masa nyata (real-time) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu diperkasa agar had laju kenderaan sentiasa dipantau. Pastinya juga kita mahukan majikan yang bertanggungjawab. Syarikat tidak boleh hanya mementingkan keuntungan (KPI) sehingga mengabaikan keselamatan pekerja mereka khususnya dan pengguna jalan raya lain secara umumnya.
Janganlah terus membiarkan jalan raya menjadi medan tempur untuk mencari rezeki dengan cara yang membahayakan nyawa, jadikanlah rezeki yang diperoleh untuk diri sendiri dan keluarga tersayang melalui cara yang selamat dan bertanggungjawab.
Penulis merupakan Pentadbir di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM. Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis.
















