Kamaruddin Sidek.

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dicadang menggantung keseluruhan jawatan kuasa pengurusan Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru di sini susulan isu video lucah yang tular dan mengambil alih pentadbiran masjid buat sementara waktu.

Mantan Ahli Lembaga Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Kamaruddin Sidek berkata, cadangan itu susulan dakwaan berlakunya salah laku moral yang serius melibatkan setiausaha masjid berkenaan.

Malah, lebih membimbangkan, tegasnya kelemahan struktur pentadbiran itu juga didakwa berpunca daripada pelantikan berasaskan kepentingan politik.

“Masjid tidak boleh diurus berdasarkan parti sebaliknya apa yang diperlukan ialah orang berkemampuan, amanah, jujur dan ada integriti bukannya dilantik atas dasar politik yang akhirnya diurus orang yang tidak berkelayakan.

“Justeru, JAIM perlu ambil sikap gantung semua jawatan kuasa masjid dan ambil alih sementara untuk ‘restructure’ (struktur semula) kerana isu moral yang tular ini melibatkan integriti dan imej institusi masjid,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pada 21 Januari lalu, MalaysiaGazette melaporkan tular sebuah video berdurasi 1 minit 59 saat memaparkan seorang lelaki didakwa setiausaha masjid berkenaan yang turut dikaitkan dengan sebuah parti politik sedang leka menonton video lucah menerusi komputer meja dalam pejabat masjid.

Rakaman pada 27 Disember 2025 itu diambil Imam 3 Masjid Al-Ehsan, Muhammad Adhan Adnan, 26, yang turut disaksikan dua individu lain sebagai rujukan dalaman AJK masjid dan JAIM sahaja dan bukannya untuk disebarkan kepada umum.

Ia bagaimanapun tular minggu lalu mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mengecam perbuatan mendedahkan identiti serta aib suspek dan sepatutnya diselesaikan mengikut saluran undang-undang.

Susulan itu, Muhammad Adhan kemudian membuat laporan polis dan melepaskan jawatannya itu berkuat kuasa 21 Januari lalu selepas menerima arahan daripada pengerusi masjid berhubung isu itu.

Mengulas lanjut, Kamaruddin yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Lajnah Politik Pas Melaka berkata, sistem pelantikan jawatankuasa masjid ketika ini telah menjadi rosak apabila ia dibuat berdasarkan dominasi parti politik di sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau turut mempersoalkan kegagalan pihak berkenaan menyiasat siapa sebenarnya yang menyebarkan video berkenaan ke luar, sebaliknya dakwaan terus dilemparkan kepada imam yang membuat laporan.

“Orang yang dituduh melakukan kesalahan itu tidak meletakkan jawatan, tidak dipaksa, tetapi orang yang membuat laporan pula dikenakan tindakan atas alasan menyebarkan video.

“Kes ini nampak berat kerana seolah-olah imej moral cuba dilindungi kerana Imam 3 yang yang buat laporan dikenakan tindakan, bukan orang yang didakwa bersalah,” katanya.

Sehubungan itu, tegasnya, pihak berkuasa termasuk MAIM digesa tampil memberikan penjelasan serta penyelesaian tuntas, selaras dengan tanggungjawab menjaga imej agama dan institusi masjid. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast