KUALA LUMPUR – Usaha memerangi rasuah di negara ini kini diperkasa melalui pendekatan seni kreatif dan tidak hanya tertumpu kepada program berbentuk ceramah serta pameran dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.
Pendekatan itu diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor dengan kerjasama Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz (KTETM) dalam menyokong pasukan TMC Dance KTETM yang berpusat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli berkata, usaha itu selaras dengan amanat 2026 Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menekankan agar aktiviti pencegahan rasuah dilaksanakan melalui kaedah seni bagi menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.
“SPRM Selangor menyahut amanat tersebut bagi menjadikan seni kreatif sebagai salah satu medium penyebaran mesej anti rasuah dan kami melihat bakat dan komitmen para pelajar KTETM ini sangat baik untuk disokong, di samping mereka boleh menjadi duta kecil bagi membantu SPRM dalam usaha membanteras rasuah di negara kita,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Azwan, SPRM Selangor telah mengadakan sesi penerangan dan perbincangan bersama Pengetua KTETM, Datin Sri Nurul Hidayah Seah Abdullah, di KTETM hari ini.
Turut dihadiri Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff, serta Rosmadi Kasim dan Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Selangor.
“Perbincangan itu merangkumi perancangan menghantar pasukan TMC Dancer untuk menyertai Pertandingan Tarian Antarabangsa 11th World Cup of Folklore di Bulgaria pada Mei 2026, dengan membawa mesej anti rasuah selain memperkenalkan tarian warisan budaya negara.
“Selain itu, satu program turut dirancang pada April ini bagi memperkenalkan pasukan tersebut dengan pengisian kempen anti rasuah serta aktiviti bersama pelajar KTETM sebelum mereka berangkat ke Bulgaria,” jelasnya.
Program pada April itu turut mendapat kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) yang menyokong usaha anti rasuah dalam kalangan pelajar, khususnya di Selangor, selain membantu dalam kempen “Keep Malaysia Clean” yang juga sebahagaian dari inisiatif potongan cukai dibawah SPRM. – MalaysiaGazete
















