Ops Korekan oleh DBKL dengan kerjasama CIDB baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Enam kontraktor pembinaan di sekitar ibu kota dikenakan 11 notis kompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa melaksanakan kerja-kerja pembaikan atau penyelenggaraan jalan raya.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, notis kompaun yang dikeluarkan menerusi Operasi Korekan Jalan Awam  baru-baru ini melibatkan kesalahan tidak meletakkan lampu blinker jalan, tiada pengawal lalu lintas jalan dan menyebabkan kerosakan siar kaki jalan.

Kesalahan lain juga termasuklah menutup laluan jalan tanpa kebenaran, lori tiada permit mengangkut bahan binaan dan menyebabkan laluan jalan awam kotor serta lain-lain kesalahan am,” katanya menerusi kenyataan.

DBKL berkata, tindakan penguatkuasaan turut diambil menerusi kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 (dua notis kompaun) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (sembilan notis kompaun).

Katanya, Operasi Korekan itu dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi memantau kerja-kerja yang dilaksanakan kontraktor semasa pembaikan atau penyelenggaraan.

Ia termasuk kerja-kerja pemasangan paip, penurapan jalan, pembaikkan saluran longkang, kerja-kerja utiliti seperti pemasangan atau penyelenggaraan bekalan air, elektrik termasuk talian telekomunikasi yang gagal mematuhi syarat dan kelulusan kerja di tapak operasi.

Operasi tersebut bermula pada jam 10 malam Jumaat lalu dan berakhir pada jam 4 pagi, Sabtu melibatkan Jalan Travers, Jalan Bangsar, Jalan Segambut, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah dan Wangsa Maju.

DBKL menambah, pihak CIDB turut mengeluarkan empat notis arahan hadir dan mengemukakan maklumat berkaitan kerja-kerja pembinaan tanpa kebenaran serta kelulusan kepada pihak kontraktor.

“DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa. Sebarang Aduan atau maklum balas, orang awam boleh salurkan dipautan tertera,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast